UniSZA jadi satu-satunya Pusat Penilaian APEL.A Terbuka di Pantai Timur

- Advertisement / Iklan -

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diiktiraf sebagai satu-satunya Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.A) Terbuka di Pantai Timur oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, pengiktirafan itu menjadi langkah penting universiti dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan profesional, tenaga kerja berpengalaman dan masyarakat yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran hasil pengalaman pekerjaan.

Beliau berkata, melalui pengiktirafan itu juga, UniSZA berupaya mengendalikan penilaian APEL.A sehingga Tahap T-8 bagi akses ke peringkat pengajian kedoktoran.

"Pendidikan tidak seharusnya terbatas kepada satu laluan sahaja. Di luar sistem pendidikan formal, terdapat ramai individu yang telah membina pengetahuan, kompetensi dan kepakaran melalui pengalaman pekerjaan selama bertahun-tahun.

- Advertisement / Iklan -

"Melalui APEL.A, pengalaman itu boleh dinilai secara sistematik sebagai laluan untuk mereka kembali ke universiti, meningkatkan kelayakan akademik dan seterusnya memperluas peluang pembangunan kerjaya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof Dr Zuhairah Ariff Abd Ghadas dalam kenyataan sama berkata, pelaksanaan APEL.A melengkapi ekosistem akademik universiti dengan menyediakan laluan kemasukan alternatif kepada calon yang mempunyai pengalaman dan kompetensi bersesuaian.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, APEL.A memberi ruang kepada universiti untuk melihat potensi seseorang secara lebih menyeluruh.

"Kelayakan formal kekal penting namun pengalaman, pengetahuan dan kompetensi yang diperoleh dalam persekitaran pekerjaan juga boleh menjadi asas yang bernilai untuk seseorang kembali mengikuti pendidikan tinggi.

"Bagi calon yang ingin memohon kemasukan ke UniSZA melalui APEL.A, bidang pengajian yang ditawarkan merangkumi kontemporari Islam, bahasa dan komunikasi, informatik dan komputeran, sains sosial gunaan, perniagaan dan pengurusan, undang-undang dan hubungan antarabangsa serta sains kesihatan, tertakluk kepada program, syarat kemasukan dan ketetapan semasa.

"Calon yang memperoleh sijil APEL.A juga boleh menggunakannya untuk memohon kemasukan ke program bersesuaian di institusi pengajian tinggi lain, tertakluk kepada syarat kemasukan dan ketetapan institusi berkenaan," katanya. - Bernama