‘Merdekakan akal’, kuasai kepakaran: Amanat TPM buat 85,000 mahasiswa UiTM

- Advertisement / Iklan -
Mahasiswa diseru semak maklumat, kuasai AI dan teknologi baharu serta gunakan ilmu untuk manfaat masyarakat dan negara

DALAM dunia yang bergerak pantas dengan lambakan maklumat dan perkembangan teknologi, mahasiswa bukan sekadar perlu bijak mencari ilmu, tetapi mesti berani berfikir dan menilai sebelum mempercayai sesuatu.

Itu antara amanat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada kira-kira 85,000 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi seruan supaya mereka “memerdekakan akal”, menguasai kepakaran dan berkhidmat dengan amanah.

Beliau berkata, kebebasan berfikir perlu berasaskan ilmu dan bukti, khususnya ketika mahasiswa berdepan maklumat yang tersebar pantas menerusi media sosial serta dipengaruhi algoritma digital.

“Cepat itu belum tentu tepat. Mahasiswa perlu membudayakan prinsip tabayyun dengan menyemak sumber, memahami konteks dan menilai bukti sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Wacana Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam Malaysia 2026 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, pada Ahad.

Program anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dengan kerjasama UiTM itu menghimpunkan kira-kira 5,000 mahasiswa secara bersemuka, manakala lebih 80,000 lagi mengikuti program secara dalam talian dari seluruh kampus UiTM.

- Advertisement / Iklan -

Mengangkat tema “Pewaris Amanah Bangsa, Penggerak Masa Depan Negara”, seminar berkenaan membincangkan sejarah perjuangan bangsa, pembangunan jati diri, budaya ilmu serta peranan mahasiswa dalam menentukan hala tuju masa depan negara.

Selain menekankan kepentingan pemikiran kritis, Ahmad Zahid turut menggesa mahasiswa membina kepakaran merentas disiplin dan menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Beliau turut mencabar UiTM meneroka bidang teknologi kuantum sebagai persediaan menghadapi perkembangan ilmu dan ekonomi masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pula berkata, tradisi universiti ialah tradisi ilmu yang bukan hanya membentuk manusia melalui pengetahuan, tetapi turut membina akhlak, adab dan rasa tanggungjawab.

Menurutnya, mahasiswa perlu membangunkan tiga keupayaan utama sebagai pencari ilmu, penyelesai masalah dan pembina negara, selaras dengan peranan pendidikan tinggi dalam melahirkan generasi yang mampu menangani cabaran masyarakat dan negara.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, tema seminar bertepatan dengan peranan universiti dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berkeupayaan memimpin.

“Patriotisme bukan sekadar rasa cinta kepada tanah air, tetapi turut dizahirkan melalui kesungguhan menuntut ilmu, memelihara amanah dan menggunakan kepakaran untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam usaha mempersiapkan mahasiswa menghadapi perubahan teknologi dan dunia pekerjaan, UiTM turut memperkukuh pembangunan mahasiswa menerusi empat agenda utama iaitu TVET UiTM Dihatiku, UTAMA PLUS UiTM AI Certified, pemerkasaan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) serta pembangunan keusahawanan Bumiputera.

Seminar itu turut menampilkan ucaptama, syarahan, ulasan, komentar serta sesi dialog dan diskusi yang menghimpunkan pemimpin dan tokoh ilmuwan bagi membincangkan amanah bangsa, kepimpinan mahasiswa, kepakaran serta cabaran generasi masa hadapan.

Mengakhiri amanatnya, Ahmad Zahid menitipkan tiga pegangan kepada mahasiswa iaitu merdekakan akal, kuasai kepakaran dan berkhidmat dengan amanah.

Tiga pegangan itu dilihat menjadi asas penting supaya ilmu yang dimiliki mahasiswa tidak berhenti di bilik kuliah, sebaliknya diterjemahkan kepada peluang, kepakaran, pendapatan dan sumbangan kepada masyarakat serta negara.