PERJALANAN Management and Science University (MSU) dalam penarafan universiti dunia terus menunjukkan peningkatan apabila melonjak ke kelompok 501-550 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings (WUR) 2027.
Lebih menarik, pencapaian itu direkodkan untuk tahun ketiga berturut-turut, selepas MSU berada dalam kelompok 801-1,000 pada 2025 sebelum meningkat ke 601-800 pada 2026 dan seterusnya 501-550 tahun ini.
Penarafan THE WUR 2027 yang melibatkan 2,297 institusi pendidikan tinggi dari 118 negara turut meletakkan MSU di tempat kesembilan daripada 32 institusi pendidikan tinggi yang dinilai di Malaysia.
Dalam kalangan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), MSU berada di tempat ketiga di Malaysia, manakala bagi indikator Pandangan Antarabangsa, universiti itu turut menduduki tempat ketiga di negara ini.
Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan, penyelidikan berimpak, inovasi serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs).
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan MSU dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan, penyelidikan berimpak, inovasi serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), sekali gus menghasilkan impak bermakna yang melangkaui universiti dan menyumbang kepada masyarakat serta komuniti global,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian MSU dalam indikator Pandangan Antarabangsa turut menyerlah apabila universiti berkenaan berada di tempat ke-45 dunia, sekali gus menggambarkan penglibatan aktifnya dalam jaringan pendidikan tinggi antarabangsa.
Bagi penarafan tahun ini, MSU turut berada di tempat keenam di Malaysia bagi Kualiti Penyelidikan dan tempat kesembilan bagi Pengajaran.
Universiti itu merekodkan skor 94.3 peratus bagi Pandangan Antarabangsa, manakala Kualiti Penyelidikan mencatatkan skor 70.2 peratus.
THE WUR menilai universiti berasaskan lima indikator utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.
Prestasi MSU dalam penarafan global itu turut dilihat selari dengan agenda kelestarian universiti apabila sebelum ini MSU berada di kedudukan ke-88 dunia dalam THE Sustainability Impact Rankings 2026.
Dalam aspek pengantarabangsaan, MSU kini mempunyai kerjasama strategik dengan lebih 350 universiti dan institusi di seluruh dunia, merangkumi pelbagai bentuk program seperti mobiliti pelajar dan staf, latihan industri serta penyelidikan bersama.
Antara inisiatif yang ditawarkan termasuk Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).
Usaha itu turut disokong Yayasan MSU menerusi Scholarship for Mobility and International Learning Experiences (SMILE) bagi membantu memperluas akses pelajar kepada pengalaman pembelajaran dan pendedahan antarabangsa.
Pada masa sama, komuniti pelajar antarabangsa MSU kini terdiri daripada pelajar dari 82 negara, antaranya United Kingdom, Türkiye, China, Arab Saudi, Mesir, Indonesia, Sri Lanka, Brunei, Maldives, Oman, Perancis, Yemen, Myanmar, Nigeria, Sudan, Botswana, India, Comoros, Iran dan Libya.
Ekosistem pengantarabangsaan universiti turut disokong menerusi pendekatan industry talent embedded ecosystem dengan kolaborasi bersama lebih 3,000 rakan industri di dalam dan luar negara.
Pendekatan itu memberi ruang kepada pelajar memperoleh pengalaman industri yang relevan, pendedahan global serta kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi pasaran pekerjaan antarabangsa.
Selain jaringan global dan kerjasama industri, MSU turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi agenda kebolehpasaran graduan, keusahawanan, penglibatan komuniti, penyelidikan, pembelajaran sepanjang hayat serta pendidikan fleksibel.
Seiring aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan antarabangsa, MSU berkata universiti itu akan terus memperkukuh jaringan global yang inklusif, inovatif dan berimpak tinggi bagi melahirkan graduan bertaraf dunia yang mampu menyumbang di peringkat antarabangsa.