UKM melonjak dalam ranking dunia, tembusi kelompok 301-325

- Advertisement / Iklan -
Universiti kedua terbaik Malaysia dalam kalangan Universiti Awam, catat peningkatan dalam tiga bidang utama

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengukuhkan kedudukannya di pentas pendidikan tinggi global apabila berjaya menembusi kelompok 301-325 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027.

Pencapaian itu menyaksikan UKM memperbaiki kedudukan berbanding edisi sebelumnya apabila berada dalam kelompok 301-350, sekali gus meletakkannya sebagai universiti kedua terbaik Malaysia dalam kalangan Universiti Awam.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh berkata, penarafan antarabangsa menjadi antara petunjuk yang boleh membantu universiti menilai kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi global.

“Penarafan ini penting kerana ia memberi gambaran tentang kedudukan UKM di peringkat antarabangsa. Ia juga membantu kita untuk melihat pencapaian UKM berbanding universiti lain.

- Advertisement / Iklan -

“Dengan pencapaian ini, kedudukan UKM di peringkat global akan lebih menyerlah sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan rakan akademik dan industri,” katanya.

THE World University Rankings merupakan antara penarafan universiti antarabangsa yang menilai institusi berorientasikan penyelidikan berdasarkan lima bidang utama, iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.

- Advertisement / Iklan -

Bagi edisi 2027, UKM merekodkan peningkatan dalam tiga bidang, iaitu Persekitaran Penyelidikan, Pandangan Antarabangsa dan Industri.

Menurut Sufian, pencapaian itu merupakan hasil usaha berterusan warga UKM dalam memperkukuh prestasi universiti, khususnya dalam aspek penyelidikan, pengajaran, jaringan antarabangsa serta hubungan dengan industri.

“Namun begitu, penarafan bukan satu-satunya ukuran kepada pencapaian sesebuah universiti. UKM tetap memberi perhatian kepada pelbagai bentuk sumbangan akademik dan kepakaran yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan turut seiring dengan aspirasi TEKAD57, iaitu kerangka strategik UKM bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi universiti secara menyeluruh.

“Peningkatan dalam penarafan ini dilihat sebagai satu perkembangan positif dan pada masa yang sama, sebagai ruang untuk kita melihat apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik di masa hadapan,” katanya.

Lonjakan UKM dalam edisi 2027 itu mencerminkan usaha berterusan universiti memperkukuh ekosistem akademik dan penyelidikan, di samping memperluas jaringan dengan rakan antarabangsa serta pemain industri.