DI sebalik jubah dan senyuman 11 graduan Program Sijil Khas Penyelenggaraan Mekanikal (KMK) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), tersimpan kisah tentang keberanian mencuba, ketekunan belajar dan peluang yang mengubah masa depan.
PSA dalam satu kenyataan berkata, kesemua mereka diraikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini selepas berjaya menamatkan pengajian dalam program berteraskan kemahiran teknikal.
"Lebih istimewa, KMK merupakan antara usaha PSA menyediakan laluan pendidikan TVET yang inklusif kepada pelajar berkeperluan khas, termasuk mereka yang mempunyai masalah pendengaran dan berminat membina kerjaya dalam bidang mekanikal.
"Program sijil selama empat semester itu memberi pendedahan teori dan amali dalam empat bidang utama iaitu Fabrikasi Logam, Permesinan Am, Penyaman Udara serta Baik Pulih Kenderaan," kata kenyataan tersebut.
Menurutnya, daripada bengkel dan latihan amali, pelajar bukan sahaja membina kemahiran teknikal, malah diberi ruang untuk membentuk keyakinan diri serta kompetensi yang diperlukan bagi memasuki alam pekerjaan.
"Perjalanan mereka juga tidak dilalui sendirian apabila PSA menyediakan ekosistem sokongan termasuk bantuan kewangan satu pertiga daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kemudahan asrama serta khidmat jurubahasa berpengalaman.
"Sokongan berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran dalam persekitaran yang lebih kondusif dan inklusif," katanya.
Tambah kenyataan itu, dalam konteks pendidikan TVET, kemahiran yang dikuasai menjadi modal penting untuk graduan melangkah ke dunia pekerjaan, termasuk dalam industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran teknikal.
Katanya, bagi graduan KMK, peluang pekerjaan bukan sekadar soal mendapatkan pendapatan, tetapi ruang untuk membuktikan keupayaan, membina kemandirian dan menunjukkan bahawa mereka juga mampu menyumbang kepada industri serta masyarakat.
"Kepercayaan majikan terhadap keupayaan graduan OKU pendengaran turut memberi gambaran bahawa keterbatasan tertentu tidak semestinya menjadi penghalang untuk seseorang membina kerjaya apabila diberikan latihan dan peluang yang sesuai.
"Program KMK turut menerima akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sekali gus memperkukuh pengiktirafan terhadap kualiti serta standard program yang ditawarkan," katanya.
Sehingga kini, PSA telah melahirkan lebih 350 graduan KMK, mencerminkan usaha berterusan institusi itu dalam menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya kepada golongan berkeperluan khas.
Apa yang dibina menerusi program itu bukan sekadar kemahiran menggunakan mesin atau melakukan kerja teknikal.
Daripada kemahiran, lahir keyakinan. Daripada keyakinan, terbina kemandirian. Dan daripada kemandirian itu, graduan mempunyai peluang untuk menentukan arah masa depan mereka sendiri.
Seiring tema Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026, ‘Melonjak Potensi, Mencipta Legasi’, perjalanan graduan KMK PSA memperlihatkan bahawa potensi tidak seharusnya diukur berdasarkan kekurangan seseorang, sebaliknya berdasarkan ruang yang diberikan untuk mereka berkembang.
Bagi 11 graduan yang diraikan, jubah konvokesyen itu bukan sekadar simbol tamat pengajian, tetapi tanda bahawa mereka sudah bersedia membawa kemahiran, keyakinan dan impian ke langkah seterusnya.