SERAMAI 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima suntikan bantuan kewangan berjumlah RM285,500 melalui Bantuan Lestari Siswa MADANI yang disalurkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Setiap pelajar menerima RM500 secara sekali bayar (one-off) dan bantuan itu tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran akan dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha agensi itu membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan agar dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan.
“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.
“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, di sini pada Isnin.
Menurut Ahmad Dasuki, PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini.
"Bagaimanapun, hanya sekitar 1,500 pelajar telah menerima manfaat tersebut," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya anak penerima eKasih yang belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.
“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.
Ahmad Dasuki berkata, selain bantuan kewangan, PTPTN turut memberi penekanan terhadap budaya menabung dalam kalangan masyarakat menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada penerima untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik, di samping membantu meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.
Menurutnya, jumlah berkenaan menunjukkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian sepanjang tempoh pengajian.
“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.
Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.