SINAR4U bantu 60 pesakit katarak di Keningau

- Advertisement / Iklan -
Ahmad Rizal Adnan bertemu dengan pesakit yang menerima rawatan.

SERAMAI 60 pesakit menerima manfaat menerusi Program SINAR4U 2026, inisiatif pembedahan katarak anjuran bersama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Hospital Keningau yang dilaksanakan, baru-baru ini.

Program yang dilaksanakan di Hospital Keningau itu merupakan sebahagian usaha HUMS mendekatkan perkhidmatan kesihatan dan kepakaran kepada masyarakat di Sabah.

Menurut kenyataan HUMS, pelaksanaan SINAR4U yang memasuki tahun ketiga sejak diperkenalkan pada 2024 itu telah memberi manfaat kepada keseluruhan 121 pesakit.

“Program tahun ini turut menyaksikan kerjasama rentas institusi dengan penglibatan pakar bedah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan College of Ophthalmologists, Academy of Medicine of Malaysia (COAMM).

- Advertisement / Iklan -

“Kolaborasi ini mencerminkan komitmen pelbagai institusi dalam menghimpunkan kepakaran dan sumber bagi membawa perkhidmatan kesihatan berkualiti lebih dekat kepada masyarakat yang memerlukan,” jelas kenyataan berkenaan.

Ahmad Rizal Adnan merakamkan gambar bersama kakitangan HUMS yang terlibat dalam program SINAR4U 2026.

- Advertisement / Iklan -

Selain menyediakan rawatan dan pembedahan katarak, program itu turut memberi peluang kepada pesakit mendapatkan kembali penglihatan serta meningkatkan keupayaan menjalani kehidupan dengan lebih berdikari dan yakin.

“Justeru itu, HUMS merakamkan penghargaan kepada semua penaja, penyumbang, rakan strategik, pakar perubatan, petugas kesihatan, urus setia dan sukarelawan yang menyumbangkan kepakaran, sumber, masa dan tenaga bagi menjayakan program ini.

“Kejayaan pelaksanaan SINAR4U 2026 menjadi pemangkin kepada HUMS untuk meneruskan dan memperluaskan inisiatif berkenaan supaya lebih ramai masyarakat Sabah mendapat akses kepada rawatan katarak pada masa hadapan,” demikian kenyataan HUMS.

Sebahagian daripada pakar bedah dari KKM, USM dan COAMM yang terlibat dengan program.

Perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan dan turut dihadiri Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Madya Dr. Fairrul Masnah @ Kadir serta Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Mohd. Noh.