CARSOME Academy, bahagian pendidikan Kumpulan CARSOME, menerima Anugerah Kecemerlangan Peningkatan Kemahiran Industri (Industry Upskilling Excellence Award) di Anugerah Pendidikan & TVET Malaysia 2026, baru-baru ini.
Pengiktirafan itu merupakan kemenangan tahun kedua berturut-turut bagi akademi berkenaan dalam menerima anugerah tersebut, susulan penerimaan Anugerah Pusat Kecemerlangan TVET (Pendidikan Teknikal Automotif) pada 2025.
Pencapaian itu menonjolkan sumbangan berterusan CARSOME Academy dalam pembangunan kemahiran automotif dan peningkatan kemahiran industri.
Dianjurkan oleh Education + TVET Asia, anugerah berkenaan mengiktiraf institusi pendidikan dan TVET yang menunjukkan kecemerlangan dalam melahirkan bakat yang bersedia memenuhi keperluan industri.
Pengiktirafan itu turut mencerminkan sumbangan berterusan CARSOME Academy kepada agenda TVET negara dengan memperkasakan rakyat Malaysia menerusi kemahiran praktikal dan pendedahan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Pengasas Bersama Kumpulan CARSOME yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CARSOME Academy, Teoh Jiun Ee berkata, CARSOME Academy terus dikembangkan seiring dengan perubahan keperluan industri automotif.
“Sepanjang tahun lalu, kami terus mengembangkan CARSOME Academy seiring dengan perubahan keperluan industri automotif. Pada tahun sebelumnya, kami diiktiraf atas usaha kami dalam Pendidikan Teknikal Automotif, manakala Anugerah Kecemerlangan Peningkatan Kemahiran Industri pada tahun ini mencerminkan fokus kami untuk memastikan kemahiran yang disediakan kekal relevan dengan perubahan industri,” katanya.
“Seiring dengan evolusi sektor ini, khususnya dengan peningkatan kenderaan elektrik (EV) dan teknologi baharu, kami mahu memastikan para pelajar serta profesional industri dilengkapi dengan kemahiran praktikal dan keyakinan yang diperlukan untuk berjaya.
“Pada akhirnya, matlamat kami adalah untuk mengukuhkan laluan antara pendidikan dan pekerjaan serta menjadikan TVET sebagai pilihan yang bermakna untuk memasuki industri automotif.”
Selain latihan teknikal, CARSOME Academy terus memperluaskan program-programnya bagi memenuhi keperluan industri yang berkembang, termasuk latihan dan pensijilan EV, Diagnostik Kenderaan Moden (Modern Vehicle Diagnostics) serta program Profesional Jualan Bertauliah (Certified Sales Professional).
Akademi itu turut menawarkan program Car Care 101 dan pendidikan keselamatan jalan raya bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran automotif dalam kalangan masyarakat.
Melalui biasiswa, bantuan kewangan dan kerjasama dengan organisasi termasuk Yayasan Hasanah, Yayasan Menteri Besar Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor, akademi berkenaan turut berusaha menjadikan pendidikan teknikal lebih mudah diakses oleh pelajar serta komuniti yang kurang mendapat akses kepada peluang pendidikan dan latihan.
Sejak penubuhannya pada 2021, CARSOME Academy telah melatih dan memperakui lebih daripada 500 pelajar serta 8,000 pekerja, dengan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 95%.
Graduan berkenaan berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh tiga bulan selepas tamat pengajian.
Sebanyak 90% pelajar CARSOME Academy terdiri daripada golongan B40 dan komuniti yang kurang mendapat peluang, sekali gus membuktikan peranan TVET dalam mewujudkan laluan pekerjaan yang lebih mudah diakses serta menyokong peluang ekonomi yang inklusif.