SUKIPT 2026 cungkil bakat atlet IPT, semarak persahabatan dan persaingan sihat

- Advertisement / Iklan -

SUKAN Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 bukan sekadar medan persaingan atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) di peringkat nasional, malah menjadi platform penting untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencungkil bakat berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan berkata, SUKIPT menjadi antara platform penting untuk mengenal pasti atlet berpotensi yang boleh diketengahkan bagi mewakili negara dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) dan kejohanan sukan universiti antarabangsa.

“Kalau kita lihat, SUKIPT merupakan satu platform untuk kita mengenal pasti atlet-atlet yang berpotensi untuk kita ketengahkan dan bawa untuk AUG (Sukan Universiti ASEAN) dan kejohanan universiti antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Perkampungan Sukan SUKIPT 2026 edisi ke-7 di La Palmas, Canseleri, Universiti Malaya (UM), pada Jumaat.

- Advertisement / Iklan -

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan.

Menurutnya, penganjuran AUG 2026 pada Disember menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah turut membuka ruang lebih besar kepada atlet IPT untuk menggunakan SUKIPT sebagai platform membuktikan keupayaan masing-masing.

- Advertisement / Iklan -

“Jadi, kita boleh katakan ini akan jadi platform untuk pelajar. Mereka perlu mengambil peluang dan menggunakan platform ini sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Rizal berkata, Perkampungan SUKIPT bukan sekadar menyediakan keperluan logistik dan penginapan kepada atlet, malah berperanan membentuk semangat kebersamaan serta mengeratkan persahabatan dalam kalangan peserta.

“Kalau kita bercakap soal sukan, kita bukan bercakap soal siapa menang atau berapa banyak pingat yang kita kumpul, tetapi semangat kesukanan dan persaingan secara sihat yang kita harapkan lahir daripada sukan,” katanya.

Beliau berkata, KPT turut memperluas tumpuan terhadap pembangunan sukan IPT di luar Semenanjung menerusi penganjuran Sukan IPT Sabah dan Sukan IPT Sarawak.

Katanya, penganjuran di peringkat zon Borneo itu memberi peluang kepada pelajar IPT di Sabah dan Sarawak untuk menyertai pertandingan sukan tanpa perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi untuk ke Semenanjung.

“Bila kita adakan di peringkat Sabah dan Sarawak, di peringkat zon Borneo ini, ada peluang untuk pelajar IPT di sana menyertai aktiviti pertandingan sukan seperti ini dan SUKIPT adalah kemuncaknya kalau ikut di peringkat nasional,” katanya.

Ahmad Rizal turut menyifatkan pencapaian atlet negara dalam kejohanan terdahulu sebagai petunjuk bahawa atlet IPT mempunyai potensi besar untuk terus diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, penganjuran SUKIPT 2026 di kampus berkenaan menjadi medan menghimpunkan bakat muda daripada pelbagai IPT dalam suasana persaingan yang sihat.

Beliau berkata, sukan mempunyai peranan lebih besar daripada sekadar mengejar pingat dan catatan masa kerana gelanggang turut membentuk ketahanan diri, keberanian, kepimpinan serta keupayaan membuat keputusan ketika berdepan situasi mencabar.

“Sukan jauh lebih besar daripada pingat dan catatan masa. Gelanggang mengajar kita mengawal emosi, membaca kekuatan lawan, mempercayai pasukan dan bangkit selepas tersungkur,” katanya.

Menurutnya, universiti tidak seharusnya hanya melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik, sebaliknya perlu membentuk insan yang mampu berdepan dunia yang kompetitif, kompleks dan tidak menentu.

“Ilmu memberikan arah, sukan membentuk ketahanan, manakala kepimpinan menggerakkan tindakan. Apabila ketiga-tiganya bersatu, lahirlah generasi yang mahu menang, namun tidak sekali-kali kehilangan nilai dan prinsip,” katanya.

Beliau turut menyeru atlet yang menyertai SUKIPT 2026 supaya memberikan saingan terbaik sambil mengekalkan semangat kesukanan dan persahabatan.

“Menanglah dengan rendah hati, kalah dengan bermaruah, dan pulanglah membawa persahabatan,” katanya.

SUKIPT 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di Universiti Malaya (UM), membabitkan 8,244 atlet daripada 64 kontinjen dalam 30 jenis sukan.

Keseluruhan komuniti SUKIPT 2026 dianggarkan seramai 10,994 orang termasuk kira-kira 2,000 pegawai dan petugas serta 750 sukarelawan.

Sebanyak RM20,000 turut disediakan bagi pencapaian rekod kebangsaan, selain RM3,000 kepada Olahragawan dan Olahragawati serta RM7,000 bagi Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita.