Selangor mula ‘build’ bakat nuklear, 3 pelajar sambung master di China

- Advertisement / Iklan -

IMPIAN kerajaan Selangor untuk meneroka sumber tenaga baharu menerusi sektor tenaga nuklear kini memasuki fasa realiti apabila tiga pelajar negeri itu bakal menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang tenaga nuklear di Harbin Engineering University (HEU), China, bermula September ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penghantaran kumpulan pertama pelajar tersebut direalisasikan menerusi kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), HEU, Tsinghua University dan China General Nuclear Power Group (CGN).

Menurut beliau, inisiatif itu turut melibatkan penawaran biasiswa secara bersama antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan China menerusi National Atomic Energy Administration (NEA) dan China Atomic Energy Authority (CAEA), sejajar dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030.

“Kita hendak siapkan Selangor untuk sektor tenaga nuklear pada masa depan. Kita sasarkan dalam masa lima tahun lagi kita akan mulakan inisiatif itu (kuasai sektor tenaga nuklear). Hari ini kita mulakan dengan sumber manusia. Kita beruntung kerana pelajar ini mendapat tajaan daripada Kerajaan China,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan penajaan kepada kumpulan pertama pelajar STDC yang akan melanjutkan pengajian di HEU bermula bulan depan, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi STDC, Nazri Mohd Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid.

- Advertisement / Iklan -

Sebelum ini, Selangor menyatakan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api pada masa hadapan selaras dengan pengumuman Belanjawan Selangor 2026 untuk meneroka pembinaan loji tenaga nuklear menerusi kerjasama dengan negara lain, selain mempelbagaikan campuran tenaga di Selangor.

Ketika ini, Selangor turut meneroka peluang dalam proses peralihan tenaga menerusi sumber solar, teknologi penyimpanan bateri serta tenaga hidrogen.

Amirudin berkata, mulai tahun depan dan 2028, Kerajaan Selangor menerusi STDC akan menghantar seramai 22 pelajar menerusi program kumpulan bakat negeri dalam bidang tenaga nuklear.

Tiga pelajar perintis yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di HEU ialah Muhammad Amani Mazlan, Aiman Shakirah Ahmad Jaffar dan Hafidz Syahmi Faznee Aniff.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar berkata, selain mengikuti pengajian dalam bidang tenaga nuklear, ketiga-tiga pelajar berkenaan turut akan menjalani On-the-Job Training (OJT) bersama CGN.

Katanya, program berkenaan merupakan pendekatan pembangunan bakat yang menggabungkan pendidikan peringkat tinggi, kemahiran teknikal dan pendedahan secara langsung kepada industri tenaga nuklear.

“Komponen On-the-Job Training (OJT) bersama CGN sangat penting kerana tiga pelajar berkenaan akan mendapat pendedahan kepada operasi sebenar industri tenaga nuklear.

“Akhirnya kita berharap akan dapat melahirkan generasi profesional dan penyelidik tempatan yang pakar dalam bidang tenaga nuklear,” katanya yang juga Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Selangor (UPEN).