PERKEMBANGAN pesat industri kenderaan elektrik (EV) menuntut tenaga pengajar TVET yang bukan sahaja menguasai pengetahuan teknikal, malah mampu menyampaikan latihan berasaskan kompetensi sejajar dengan keperluan industri semasa.
Keperluan itu mendorong KWT EV Academy dengan kerjasama Yantai Vocational College, China dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Train the Trainer @ UniMAP – Yantai Professional EV Lecturer Certification Training, sebuah program pensijilan profesional yang memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi tenaga pengajar dalam teknologi EV.
Menurut penganjur, program selama 15 hari atau 120 jam itu berlangsung dari 10 hingga 28 Ogos 2026, merangkumi 10 hari pembelajaran teori serta lima hari latihan praktikal dan penilaian kompetensi di UniMAP dan KWT EV Academy.
“Perkembangan pesat industri EV memerlukan tenaga pengajar yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan teknikal, malah mampu menyampaikan latihan berasaskan kompetensi yang selari dengan keperluan industri semasa.
“Justeru, program ini dirangka bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran tenaga pengajar supaya mereka lebih bersedia membimbing generasi baharu tenaga mahir dalam bidang EV,” katanya.
Program berkenaan direka khusus untuk pensyarah, tenaga pengajar, instruktor TVET dan pendidik teknikal dalam bidang automotif, elektrik, mekatronik serta bidang berkaitan.
Antara pengisian utama ialah teknologi EV terkini, sistem EV, kaedah diagnostik, keselamatan EV, standard serta amalan terbaik industri.
Selain pembelajaran teori, peserta turut menjalani latihan amali berkaitan sistem EV dan penggunaan peralatan diagnostik sebelum melalui penilaian praktikal bagi mengukur tahap kompetensi masing-masing.
“Peserta bukan sahaja didedahkan kepada pengetahuan teori, tetapi turut menjalani latihan amali dan penilaian praktikal bagi memastikan mereka mampu mengaplikasikan pengetahuan berkaitan sistem EV dalam situasi sebenar.
“Pendekatan ini penting supaya tenaga pengajar bukan sekadar memahami teknologi, tetapi mampu menyampaikan kemahiran tersebut secara berkesan kepada pelajar dan tenaga kerja masa hadapan,” katanya.
Tambah penganjur, antara objektif utama program adalah memperkukuh pengetahuan peserta mengenai perkembangan teknologi dan industri EV, meningkatkan kemahiran pengajaran serta strategi penyampaian latihan berasaskan kompetensi.
"Program itu turut memberi penekanan terhadap keselamatan EV, standard dan amalan terbaik industri, selain membina keupayaan tenaga pengajar untuk melatih, menilai dan membimbing generasi baharu tenaga mahir.
"Menerusi program tersebut, peserta berpeluang memperoleh Professional EV Lecturer Certificate, bahan dan sumber latihan, selain menjalani penilaian praktikal serta kompetensi sebagai platform pembangunan profesional tenaga pengajar," katanya.
Kerjasama KWT EV Academy, UniMAP dan Yantai Vocational College turut membuka ruang kepada pengukuhan jaringan pendidikan dan industri di peringkat tempatan serta antarabangsa, khususnya dalam bidang teknologi EV.
KWT EV Academy percaya pembangunan tenaga pengajar yang kompeten merupakan asas penting dalam melahirkan tenaga kerja EV yang berkemahiran, mengutamakan keselamatan dan mampu memenuhi keperluan industri automotif masa hadapan.