MAJLIS Anugerah Mahasiswa Unggul (AMU) UiTM 2026 bukan sekadar pentas menerima plak dan sijil, sebaliknya menjadi penghargaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) terhadap mahasiswa yang mencipta kecemerlangan, memimpin serta memberi impak kepada universiti dan masyarakat.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr. Sazili Shahibi berkata, pengiktirafan itu membuktikan sumbangan mahasiswa dalam pelbagai bidang turut menjadi sebahagian penting dalam membentuk generasi graduan yang holistik dan berdaya saing.
Menurutnya, pembangunan mahasiswa secara menyeluruh amat penting bagi mempersiapkan mereka berdepan persaingan dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
“UiTM bukan sahaja berhasrat melahirkan graduan cemerlang dalam akademik, tetapi juga pemimpin masa hadapan yang mempunyai jati diri, kemahiran kepimpinan serta keupayaan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya dalam ucapan pada AMU UiTM 2026 di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam.
AMU UiTM 2026 mempertandingkan 12 kategori merangkumi Kepimpinan, Kelestarian, Komuniti, Perpaduan, Kesukarelawanan, Inklusiviti, Bicara, Daya Usaha dan Inovasi, Seni dan Warisan, Sukan dan Rekreasi, Keusahawanan serta Sinergi Kepimpinan Siswa.
Keseluruhannya, 36 finalis diketengahkan dalam anugerah berkenaan.
Majlis turut menghimpunkan kepimpinan universiti daripada seluruh sistem UiTM termasuk Rektor Kampus Cawangan, Timbalan Rektor, Dekan, Timbalan Dekan, pengurusan kanan Hal Ehwal Pelajar (HEP), selain wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) seluruh Malaysia dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK).
Kemuncak AMU UiTM 2026 menyaksikan Muhammad Haziq Haikal Mohd Nizam dari UiTM Shah Alam dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Unggul.
Beliau turut menerima Tokoh Komuniti Siswa dan Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa, sekali gus menjadi antara mahasiswa paling menyerlah dalam edisi kali ini.
Sementara itu, Muhammad Zulhusny Khairul dari UiTM Shah Alam menerima Anugerah Tokoh Siswa Harapan.
Bagi kategori utama, penerima anugerah ialah:
* Tokoh Kepimpinan Siswa: Mohamad Aiman Syakirin Nazlim (UiTM Perak)
* Tokoh Kelestarian Siswa: Muhamad Haikal Hanafi Hasran (UiTM Negeri Sembilan)
* Tokoh Komuniti Siswa: Muhammad Haziq Haikal Mohd Nizam (UiTM Shah Alam)
* Tokoh Perpaduan Siswa: Wan Izzul Hakim Wan Jamal Abdul Nasir (UiTM Pahang)
* Tokoh Sukarelawan Siswa: Hanafi Hanizan (UiTM Shah Alam)
* Tokoh Inklusif Siswa: Muhammad Akmal Fitri Rozaidin (UiTM Negeri Sembilan)
* Tokoh Bicara Siswa: Aqilah Laila Ahmad Shukri (UiTM Johor)
* Tokoh Daya Usaha dan Inovasi Siswa: Muhammad Saqeef Mohd Sani (UiTM Kedah)
* Tokoh Seni Warisan Siswa: Muhammad Azreen Azihanudin (UiTM Kelantan)
* Tokoh Sukan Rekreasi Siswa: Muhammad Aiman Roslan (UiTM Kelantan)
* Tokoh Usahawan Siswa: Amirul Anas Zulkifli (UiTM Shah Alam)
* Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa: Muhammad Haziq Haikal Mohd Nizam (UiTM Shah Alam)
Pengiktirafan turut diberikan kepada barisan penasihat mahasiswa.
Hisyam Che Mat dari UiTM Shah Alam menerima Anugerah Penasihat Terbaik, manakala Nurul Ainun Ahmad Atory dari UiTM Selangor menerima Anugerah Penasihat Harapan.
Sazili berharap para penerima terus menjadi contoh dan sumber inspirasi kepada mahasiswa lain serta memainkan peranan sebagai ikon dan duta kecil UiTM.
Menurutnya, peranan itu tidak seharusnya berakhir selepas meninggalkan kampus, sebaliknya diteruskan dengan menyumbang kepada alma mater, masyarakat dan negara selepas bergraduasi.
Penganjuran AMU UiTM 2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam membina budaya kecemerlangan dengan meraikan bukan sahaja pencapaian mahasiswa, tetapi perjalanan, kepimpinan, sumbangan dan impak yang mereka cipta.
Usaha itu sekali gus menyokong aspirasi UiTM untuk melahirkan generasi graduan berkualiti, berdaya saing dan bersedia memimpin masa hadapan.