UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan bakat dan ekosistem logistik negara menerusi penganjuran International Logistics Symposium (ILS) & Logistics Industrial Forum (LIF).
Selepas empat tahun penganjuran, hampir 1,000 pelajar telah menyertai program ini dan menerima pendedahan berkaitan industri logistik serta mengikuti sesi libat sama bersama pemimpin sektor logistik, akademia dan agensi kerajaan.
Usaha itu diperkukuh menerusi penubuhan Malaysia Logistics Consortium (MLC) pada 2025 di bawah Program MOHE Research and Industry-Infused Incubator (MRI3), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan UMT sebagai Universiti Peneraju.
Profesor Dr. Suriyani Muhamad yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT berkata, pembangunan bakat menjadi fokus utama MLC dalam melahirkan tenaga kerja logistik yang kompeten dan bersedia menghadapi perubahan industri.
“Masa depan logistik bergantung kepada kualiti bakat hari ini. MLC akan membentuk kerjasama universiti–industri untuk membangunkan bakat masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian International Logistics Symposium (ILS) & Logistics Industrial Forum (LIF) di The Ship Campus, baru-baru ini.
MLC menekankan kemahiran berasaskan industri, literasi digital serta kerjasama strategik antara universiti dan industri bagi memperkukuh inovasi serta jaringan logistik negara.
Menurut beliau, ILS & LIF pula menjadi platform utama yang menghubungkan pelajar dengan industri secara langsung, selari dengan objektif MLC.
Penganjuran ILS & LIF 2026 bertemakan “Accelerating the Workforce for ASEAN Logistics Integration” berlangsung di The Ship Campus pada 15 hingga 17 Ogos 2026.
Kira-kira 258 pelajar daripada 25 institusi, termasuk empat institusi antarabangsa, serta 100 wakil industri dan 12 rakan strategik menyertai simposium tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ts. Dr. Noraisah Spahat berkata, program itu menunjukkan pelaksanaan MLC secara praktikal menerusi kerjasama akademia–industri.
“ILS & LIF 2026 mencerminkan pelaksanaan MLC yang menyokong agenda pendidikan tinggi negara secara bersepadu dan berorientasikan hasil.”
Evolusi ILS & LIF menunjukkan peranan UMT yang kini melangkaui pendedahan pelajar kepada pembangunan ekosistem logistik dengan melibatkan universiti, industri, kerajaan dan masyarakat menerusi pendekatan Quadruple Helix.
Tambah Dr. Suriyani, MLC menyasarkan pembangunan 237,000 tenaga profesional logistik menjelang 2030 dengan disokong oleh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), upskilling serta reskilling.
“Sebagai Universiti Peneraju MLC, UMT komited memperkukuh pembangunan bakat, penyelidikan industri dan kerjasama strategik bagi memastikan pendidikan tinggi kekal relevan. UMT percaya masa depan logistik bergantung kepada manusia yang berilmu, berkemahiran dan bersedia memimpin perubahan.
“UMT akan terus memperluas jaringan MLC untuk meningkatkan pengalaman industri, kemahiran dan inovasi pelajar serta tenaga kerja. Pendekatan ini meletakkan UMT sebagai pemangkin bakat dan inovasi bagi memperkukuh daya saing logistik Malaysia di ASEAN,” katanya.