UTHM perkukuh kebajikan pelajar menerusi Sabil Al-Hikmah

- Advertisement / Iklan -

PROGRAM Sabil Al-Hikmah yang dilaksanakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sejak Mac 2016 hingga Ogos 2026 telah memberi manfaat kepada 3,503 pelajar, dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM723,967.

Program Sabil Al-Hikmah merupakan inisiatif bantuan makanan percuma kepada pelajar kurang berkemampuan, khususnya daripada kategori B40, sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan berterusan UTHM dalam membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar sepanjang mengikuti pengajian di universiti.

Pada peringkat awal pelaksanaannya, program itu digerakkan secara gotong-royong dengan melibatkan warga dan Pusat Tanggungjawab (PTj) UTHM yang bersama-sama memasak serta menyediakan makanan untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.

Seiring perkembangan semasa, kaedah pelaksanaan Sabil Al-Hikmah terus ditambah baik bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lebih mudah, tersusun dan sistematik.

- Advertisement / Iklan -

Bermula 2017 hingga 2022, pelajar mendapatkan makanan di kafetaria terpilih dengan menunjukkan kad matrik sebagai bukti penerima, sebelum kaedah tersebut dipertingkatkan menerusi penggunaan kod QR pada 2023 dan 2024.

Mulai 2025, pelaksanaan program memasuki fasa pendigitalan menerusi penggunaan ‘Pay Sabil App’, yang membolehkan penerimaan makanan oleh pelajar direkodkan secara lebih sistematik.

- Advertisement / Iklan -

Penggunaan aplikasi itu turut memudahkan urusan tuntutan oleh pihak kafeteria, selain membolehkan rekod penerima dan transaksi makanan dipantau serta dilaporkan dengan lebih teratur.

Bagi kemasukan pelajar Diploma sesi 2026/2027 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh, program Sabil Al-Hikmah bermula pada 10 Ogos hingga 29 September 2026 dan akan diteruskan sepanjang semester pengajian.

Seramai 100 pelajar diperuntukkan menerima bantuan makanan melalui kafeteria terpilih di kampus, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka sepanjang tempoh pengajian.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq pelaksanaan program Sabil Al-Hikmah mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan, khususnya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata, bantuan makanan yang disediakan bukan sekadar bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, malah diharap dapat membantu mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian tanpa terlalu dibebani kos sara hidup harian.

“Kita mahu memastikan tiada pelajar UTHM yang tercicir atau terjejas pengajiannya disebabkan kekangan kewangan.

“Sabil Al-Hikmah merupakan manifestasi keprihatinan dan semangat kebersamaan seluruh warga universiti serta para penyumbang dalam menyantuni mahasiswa yang memerlukan dan usaha ini akan berterusan agar manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para dermawan dan warga UTHM yang menyumbang melalui potongan gaji serta pelbagai bentuk sumbangan lain yang menjadi antara sumber utama kelangsungan program Sabil Al-Hikmah.

“UTHM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para dermawan, warga universiti dan semua pihak yang terus memberikan sumbangan serta sokongan bagi memastikan program Sabil Al-Hikmah dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.