UTeM senada KPT, sokong hala tuju baharu perundangan pendidikan tinggi

- Advertisement / Iklan -

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil maklum pengumuman perdana menteri berhubung cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), serta kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi mengenai perancangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membangunkan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif bagi pendidikan tinggi negara.

UTeM menyatakan sokongan dan kesediaan untuk bergerak seiring dengan hala tuju KPT sebagaimana yang digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 melalui agenda pembentukan One Higher Education Act.

Menurut UTeM, usaha berkenaan merupakan langkah penting bagi memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi negara terus relevan dengan perubahan landskap pendidikan tinggi, di samping memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik, suara mahasiswa, tadbir urus dan akauntabiliti universiti.

“UTeM tentunya senada dan seiringan dengan hala tuju KPT sebagaimana yang telah digariskan menerusi RPTM 2026–2035 melalui agenda pembentukan One Higher Education Act,” menurut kenyataan media UTeM.

- Advertisement / Iklan -

Dalam merealisasikan hasrat KPT itu, UTeM bersedia memberikan kerjasama bersepadu dalam segenap konteks berkaitan kepada KPT dan semua pihak berkepentingan, khususnya dalam proses libat urus serta pembangunan kerangka perundangan baharu berkenaan.

Sehubungan itu, UTeM berpandangan penelitian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu secara menyeluruh dengan mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi serta peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara.

- Advertisement / Iklan -

“Impak pembaharuan ini diharapkan mampu menyokong objektif yang lebih utama dalam melahirkan mahasiswa dan komuniti yang berilmu, hebat dalam pemikiran, bertanggungjawab dalam segenap perlakuan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan universiti dan negara,” menurut kenyataan itu.

UTeM turut menegaskan bahawa perkara tersebut merupakan tunjang dalam memastikan institusi pendidikan tinggi terus berada pada kedudukan tinggi sebagai rujukan utama keilmuan dan peradaban, selain terus berdaya tinggi dalam menzahirkan peranan menjana generasi yang berevolusi tinggi di persada negara dan merentas sempadan antarabangsa.