CADANGAN pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), serta usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif bagi kemajuan sektor pendidikan tinggi negara, disambut baik oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pembaharuan tersebut penting bagi memastikan institusi pendidikan tinggi terus berfokus dalam melahirkan generasi berteraskan peradaban ilmu yang disegani di peringkat nasional dan global.
Beliau berkata, usaha itu harus dianggap sebagai anjakan perubahan perundangan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara yang selari dengan agenda Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, khususnya dalam membentuk Akta Pendidikan Tinggi Baharu yang lebih holistik dan berteraskan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Prof. Md Amin berpendapat kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi itu mampu memperkasakan autonomi institusi yang mendorong kepada kecemerlangan insan, selain menekankan kepentingan universiti sebagai tempat penyebaran kecemerlangan ilmu dan pengembangan inovasi baharu.
Beliau berkata, pemansuhan AUKU tidak seharusnya hanya berfokus kepada kebebasan bersuara mahasiswa semata-mata, sebaliknya perlu turut menekankan aspek tanggungjawab, pembentukan adab, akhlak dan ilmu mahasiswa secara lebih holistik sejajar dengan perkembangan semasa.
“Semua warga institusi pendidikan tinggi termasuk mahasiswa mempunyai amanah dan peranan yang amat penting dalam membina Malaysia yang sejahtera, maju lagi disegani serantau.
“Sehubungan itu, akta baharu yang bakal digubal dan diperkenalkan juga harus memberikan perhatian yang serius terhadap aspek ini kerana institusi pendidikan tinggi dan mahasiswanya adalah cerminan tamadun kemajuan sesebuah negara,” ujarnya.
Beliau turut berkata, tadbir urus universiti perlu dijalankan berdasarkan keutamaan aspirasi negara, keperluan industri dan impak kepada komuniti, sekali gus mewujudkan organisasi universiti yang efektif, matang dan berdaya saing di peringkat global.
Katanya, reformasi yang ingin dilakukan perlu bersifat berani dan merangkumi tanggungjawab semua pemegang taruh pendidikan tinggi negara, iaitu pihak kerajaan, mahasiswa, ibu bapa, pentadbir, warga IPT, industri dan masyarakat, demi memastikan kelangsungan kecemerlangan pendidikan tinggi negara di peringkat global.
“Mahasiswa dan akademia perlu berani meneroka idea dan wacana baharu, membawa impak kepada masyarakat dan memberikan manfaat kepada negara, sejajar dengan peranan universiti sebagai pusat pengembangan kecemerlangan ilmu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UPSI sentiasa terbuka untuk memberikan kerjasama kepakaran dan pengalaman kepada KPT serta semua agensi yang terlibat dalam membangunkan kerangka perundangan baharu berkenaan.
“Kami akan mengambil langkah proaktif dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memajukan ekosistem pendidikan tinggi demi masa depan negara,” katanya.
Beliau berharap akta baharu yang bakal digubal itu dapat menzahirkan generasi ilmu yang seimbang, holistik serta menyumbang secara signifikan terhadap kecemerlangan negara.