SERAMAI 82,092 calon atau 76.10 peratus daripada 107,875 pemohon yang layak menerima tawaran pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di 20 Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik 2026/2027 menerusi UPUOnline.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), tawaran itu melibatkan calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM, Diploma atau setaraf, dengan sebanyak 1,146 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan bagi sesi kali ini.
Menurut kenyataan itu, kemasukan pelajar ke institusi berkenaan dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
“Pihak kementerian mengucapkan penghargaan kepada calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM, Diploma/Setaraf yang telah mengemukakan permohonan melanjutkan pengajian ke 20 Universiti Awam (UA) menerusi UPUOnline,” menurut kenyataan itu.
Bagi calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, KPT menyediakan peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula 14 Ogos 2026, jam 12 tengah hari hingga 23 Ogos 2026, jam 5 petang.