KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperhebat usaha mengenal pasti lebih ramai pelajar daripada keluarga miskin yang layak agar Biasiswa Anak eKasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (BAeK PTPTN) dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata sehingga kini, terdapat ribuan slot permohonan di bawah inisiatif itu yang masih belum dimohon, sekali gus menyukarkan sasaran 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah memperoleh akses pendidikan tinggi dicapai.
"Peruntukan ini ada, tidak ada masalah cuma permohonannya belum dipenuhi kerana masih ramai yang tidak mendaftar. Jadi kita telah mengarahkan PTPTN untuk mempertingkatkan pendaftaran serta memperkukuh integrasi data dengan agensi berkaitan terutama sistem eKasih," katanya.
Terdahulu beliau merasmikan Program Jelajah AI MyMahir TalentCorp untuk Parlimen Hang Tuah di Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), pasa Sabtu yang turut dihadiri Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad Siva Kumeren.
Adam Adli berkata, KPT optimis kadar agihan biasiswa itu akan meningkat memandangkan kini merupakan musim pendaftaran pelajar ke institusi pengajian tinggi.
Mengulas lanjut beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan PTPTN bagi meneliti langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan sasaran pengagihan biasiswa itu dapat dicapai.
Katanya, KPT juga turut bersedia meneliti kemungkinan memperluaskan manfaat biasiswa itu kepada kategori lain sekiranya masih terdapat lebihan dana selepas semua penerima yang layak dalam sistem eKasih menerima bantuan berkenaan.
"Ini bukan keputusan dasar. Banyak perbincangan perlu dibuat terlebih dahulu. Namun jika masih terdapat lebihan dana selepas diagihkan, kita boleh mempertimbangkan kategori keluarga miskin lain yang sesuai dan tidak semestinya berada di bawah eKasih.
"Kita juga akan mencadangkan kepada PTPTN supaya bekerjasama dengan pusat zakat di setiap negeri bagi menyemak kategori asnaf yang berpotensi menerima manfaat sekiranya cadangan itu dipersetujui," katanya.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, proses permohonan biasiswa itu kini telah dipermudah dan tidak lagi memerlukan pelajar mengisi borang tambahan.
"Apabila pelajar menerima tawaran ke universiti dan membuat permohonan PTPTN, sistem akan membuat semakan secara automatik. Jika mereka tersenarai sebagai keluarga eKasih yang layak, surat tawaran pembiayaan akan dikeluarkan secara automatik," katanya.
Terdahulu, seramai 150 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk mahasiswa dan pelajar TVET yang hadir ke program tersebut menerima bimbingan dalam pelbagai aspek termasuk mengenali akses kepada kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan digital dalam usaha mempersiapkan bakat muda menghadapi perubahan dunia pekerjaan. - Bernama