KPT sasar 70% kemudahan kolej kediaman menjelang 2035

- Advertisement / Iklan -
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (Gambar fail).

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan penyediaan kemudahan kolej kediaman bagi menampung sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar pra-siswazah sepenuh masa di semua universiti awam (UA) dan politeknik seluruh negara menjelang 2035.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sasaran itu digariskan menerusi Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dibangunkan pada November 2024 hasil libat urus bersama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia dan kepimpinan mahasiswa.

Beliau berkata, kementerian sentiasa peka dan mengambil berat kepentingan menyediakan penempatan yang sejahtera, selamat dan selesa untuk mahasiswa, terutamanya bagi golongan memerlukan.

"Bagi memenuhi keperluan penginapan mahasiswa di universiti, lebih banyak kolej kediaman pelajar dibangunkan sebagai pelan jangka panjang KPT untuk keselesaan mereka terutamanya melibatkan pelajar golongan B40," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement / Iklan -

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin mengetahui langkah kerajaan mengatasi kekurangan kolej kediaman sehingga memaksa ramai pelajar menyewa di luar kampus dengan kos tinggi.

Zambry memaklumkan KPT telah menerima peruntukan RM1.1 bilion sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan tahun pertama RMK13 bagi kerja-kerja penggantian, naik taraf serta pemulihan infrastruktur usang di IPTA, manakala RM225 juta lagi diperuntukkan untuk membaik pulih asrama sedia ada.

- Advertisement / Iklan -

Sepanjang tempoh sama, sebanyak 36 projek kolej kediaman di IPTA dilaksanakan melalui kerjasama awam swasta (PPP), dengan 15 projek telah siap dibina yang mampu menampung sehingga 45,000 pelajar.

"Dalam tempoh RMK13, kerajaan berhasrat untuk membina lima kolej kediaman baharu di UA yang dijangka dapat menampung sehingga 21,000 pelajar melalui kaedah PPP," katanya.

Menjawab soalan tambahan Halimah Ali (PH-Kapar) mengenai status pembinaan kolej baharu dan bantuan sewa kepada pelajar yang terpaksa membayar antara RM500 hingga RM1,000 sebulan untuk menyewa di luar kampus, Zambry menjelaskan projek berkenaan melibatkan kapasiti tambahan.

Beliau berkata, KPT turut menetapkan garis panduan ketat bagi memastikan golongan sasar diberikan keutamaan penempatan di dalam kampus.

"Kita memberi keutamaan kepada B40, kepada pelajar-pelajar orang Asli, orang kurang upaya, mereka yang terlibat secara aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar, PALAPES, Kesatria, termasuk kelompok asnaf dan berkeperluan," katanya.

Bagi pelajar B40 dan M40 yang terpaksa tinggal di luar kampus, beliau berkata setiap universiti melaksanakan pelbagai inisiatif berbeza mengikut kapasiti masing-masing bagi mengurangkan beban kewangan mahasiswa, termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan ke kampus. - Bernama