UPM Holdings, UPM jayakan PRINCE Patients Care Day 2026 Renourish

- Advertisement / Iklan -

UPM HOLDINGS terus memperkukuh komitmennya dalam memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti menerusi penganjuran Program Komuniti PRINCE Patients Care Day 2026: PUTRA Renourish di Putra Renal Intervention & Dialysis Centre (PRINCE).

Program itu dianjurkan hasil kerjasama strategik bersama pelajar Praktikum Profesional Dietetik Komuniti (Kumpulan B), Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Inisiatif tersebut menjadi platform yang menghimpunkan pesakit, penjaga, profesional kesihatan, warga akademik, pelajar dan rakan industri bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan buah pinggang, menggalakkan amalan pemakanan sihat serta memperkukuh kolaborasi ke arah kesejahteraan komuniti.

- Advertisement / Iklan -

PRINCE merupakan pusat dialisis yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara UPM Holdings dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia, dengan sokongan barisan pakar nefrologi berpengalaman dari HSAAS.

Sejak memulakan operasi pada Februari 2025, PRINCE menyediakan kemudahan rawatan lengkap yang merangkumi 20 dialysis bays, bilik Peritoneal Dialysis (PD), bilik prosedur dan bilik konsultasi, selain kini memberi rawatan berterusan kepada kira-kira 36 pesakit.

- Advertisement / Iklan -

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings, En. Shahrulnizam Md. Sharif berkata, program itu mencerminkan komitmen UPM Holdings dalam memperkukuhkan hubungan antara akademia, industri dan komuniti demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

"Melalui PRINCE, kami bukan sahaja menyediakan perkhidmatan dialisis berkualiti, malah membangunkan ekosistem yang menghubungkan kepakaran universiti, kecemerlangan perkhidmatan dan kerjasama strategik bagi menghasilkan impak sosial yang mampan.

"Kami komited untuk terus memperluaskan kerjasama dalam memperkasa akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti, di samping menyokong pembangunan bakat dan penyelidikan," katanya.

Program tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti menerusi inisiatif PUTRA Renourish, termasuk demonstrasi penyediaan makanan mesra pesakit dialisis, konsultasi pemakanan, ceramah pendidikan kesihatan, pemeriksaan kesihatan asas serta pameran interaktif yang dikendalikan oleh pelajar Praktikum Profesional Dietetik Komuniti (Kumpulan B), Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Selain memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemakanan dan gaya hidup sihat dalam pengurusan penyakit buah pinggang, inisiatif itu turut memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam situasi sebenar sambil menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Penganjuran program berkenaan selaras dengan komitmen UPM Holdings terhadap prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 3: Good Health and Well-being dan SDG 4: Quality Education, melalui pemerkasaan penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Selaras dengan aspirasi"Harvesting Knowledge for a Better Future", UPM Holdings akan terus memperkukuh kerjasama strategik dalam menterjemahkan kepakaran Universiti Putra Malaysia kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan negara.