KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bersedia menerima permohonan program akademik baharu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), politeknik dan kolej komuniti bagi memperkukuh kepelbagaian program pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Sabah.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, setiap permohonan program baharu dinilai secara menyeluruh berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk kepakaran, keperluan semasa industri, kapasiti penyampaian institusi, permintaan pelajar serta kebolehpasaran graduan, di samping mengelakkan pertindihan program antara IPTA.
"Pendekatan ini memastikan program yang ditawarkan adalah berkualiti, relevan dan memenuhi keperluan pembangunan ekonomi Sabah, selain mengoptimumkan penggunaan kepakaran dan sumber sedia ada," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) mengenai langkah konkrit kementerian untuk menambah kapasiti dan kepelbagaian program IPTA di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan pelajar kepada kampus di Semenanjung.
Zambry berkata, KPT sentiasa komited memperkukuh kapasiti dan kepelbagaian program pengajian IPTA di Sabah bagi memastikan pelajar tempatan mempunyai akses yang lebih luas kepada pendidikan tinggi berkualiti tanpa perlu bergantung kepada kampus di Semenanjung semata-mata.
"Sehingga 30 Jun, sebanyak 16 IPTA, termasuk kampus cawangan sedang beroperasi dan menawarkan pelbagai program pengajian di Sabah, merangkumi empat universiti awam, tiga politeknik dan sembilan kolej komuniti," katanya.
Zambry berkata, pada masa ini, UMS dan kampus cawangannya memfokuskan pembangunan program baharu berteraskan kekuatan penyelidikan, keunikan geografi serta biodiversiti Borneo yang melibatkan bidang sains marin dan akuakultur, bioteknologi tropika, sains perubatan, warisan dan sosial serta ekopelancongan dan perniagaan.
Beliau berkata, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah pula menawarkan program yang memberi tumpuan kepada bidang pelancongan dan hospitaliti, perniagaan, sains pentadbiran serta sains dan teknologi.
Menurut Zambry, bagi menyokong peningkatan kapasiti pendidikan tinggi di Sabah, KPT sedang melaksanakan 21 projek pembangunan dengan kos keseluruhan RM1.05 bilion manakala siling Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 2026 berjumlah RM160.6 juta.
Beliau berkata KPT tidak menetapkan kuota tertentu dalam konteks pendidikan kerana kelayakan pelajar memasuki IPTA bergantung pada kursus yang ditawarkan universiti serta permintaan pelajar.
"Kita tidak boleh semata-mata menetapkan, katakan 80 peratus mesti ada di sini (Sabah), sedangkan ada program yang ditawarkan di tempat lain, khususnya di Semenanjung dan Sarawak.
"Namun, ini tidak bermakna kita tidak mempunyai perancangan sama sekali untuk memastikan akses kepada pendidikan dan penawaran kursus berasaskan pendekatan khusus seperti dalam bidang perundangan, kerana Sarawak dan Sabah amat memerlukan program-program ini," katanya.
Beliau ketika menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata kerajaan menyediakan peruntukan menerusi KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memastikan bidang penyelidikan di peringkat universiti dapat dilaksanakan.
"Hari ini kita dapati banyak proses penyelidikan yang dilakukan telah menghasilkan sesuatu yang baik. Ini yang kita panggil dalam konteks universiti sebagai RDICE (Program Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi), iaitu penyelidikan yang mempunyai nilai komersial," katanya. - Bernama