13 anak YKM terima bantuan, sasar lebih ramai ke IPT

- Advertisement / Iklan -
Gambar hiasan.

YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) akan menyalurkan Bantuan Menara Gading kepada 13 anak di bawah naungannya yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Jumlah itu mewakili 40 peratus daripada 33 anak YKM yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu, dengan kesemua mereka meneruskan pengajian melalui pelbagai laluan termasuk Tingkatan Enam, diploma, matrikulasi, asasi, sijil dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bantuan tunai bagi meringankan perbelanjaan awal sebelum memasuki kampus akan mula dikreditkan ke akaun penerima bermula 3 Julai.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian itu membuktikan sokongan pendidikan yang berterusan mampu membuka peluang lebih baik kepada anak-anak daripada keluarga yang memerlukan.

- Advertisement / Iklan -

"Tahniah kepada semua anak-anak YKM yang berjaya melangkah ke menara gading. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan dorongan, disiplin dan sokongan yang tepat, mereka mampu membina masa depan yang lebih baik.

"Namun, peratusan anak-anak YKM yang menyambung pelajaran masih perlu dipertingkatkan. YKM mensasarkan lebih separuh daripada pelajar lepasan SPM di bawah naungannya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya setiap tahun," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Bekas Perdana Menteri Kesembilan itu berkata, bantuan berkenaan merupakan sokongan awal bagi membantu pelajar memulakan kehidupan di kampus dengan lebih yakin.

"Bantuan ini adalah sokongan awal yang bermakna untuk membantu mereka memulakan perjalanan di kampus dengan lebih yakin. YKM akan terus berdiri bersama mereka dalam usaha mengejar ilmu dan membina masa depan yang lebih baik," katanya.

Dalam kalangan penerima, pelajar cemerlang YKM, Aisyah Maharuddin yang memperoleh 10A dalam SPM 2025 kini melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, manakala Nurhanani Ainah Khafizan dan Nur Aqilah Alya Mohamad, masing-masing memperoleh 9A, mengikuti program Asasi di UiTM Dengkil.

Ahli Parlimen Bera itu turut memberi komitmen bahawa selagi YKM mempunyai kemampuan kewangan, yayasan tersebut akan terus memastikan anak-anak di bawah naungannya tidak tercicir daripada peluang memperoleh pendidikan berkualiti.

Seiring komitmen itu, YKM akan memperluaskan program pembangunan pendidikan menerusi Kem Motivasi SPM 2026 bersama pusat tuisyen MC PLUS, dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 pelajar memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2026.

YKM turut mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk menyumbang dana, menaja program pendidikan, menyediakan bimbingan akademik serta membantu keperluan awal pelajar bagi memastikan lebih ramai anak daripada keluarga memerlukan berpeluang melanjutkan pengajian dan membina masa depan yang lebih cerah.