PROGRAM Keselamatan Pengguna Jalan Raya untuk Komuniti (KITARA): Komuniti Selamat di Jalan Raya berjaya menghimpunkan penduduk Kampung Sungai Machang Hilir dalam usaha memperkukuh kesedaran dan amalan keselamatan jalan raya di peringkat komuniti, baru-baru ini.
Penasihat program, Ir. Ts. Gs. Dr. Rosmawati Mamat berkata, penganjuran program itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerusi Fakulti Kejuruteraan Awam serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Machang Hilir, Lenggeng, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sungai Machang itu dilaksanakan di bawah inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat kepada masyarakat.
"Melalui pendekatan SULAM, pelajar bukan sahaja mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, malah berperanan sebagai ejen perubahan dalam menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada komuniti," katanya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif diadakan bagi menarik penyertaan masyarakat pelbagai peringkat umur, termasuk pemasangan cermin cembung di lokasi yang dikenal pasti berisiko bagi meningkatkan jarak penglihatan pengguna jalan raya.
Turut diadakan pertandingan mewarna bertemakan keselamatan jalan raya untuk kanak-kanak serta aktiviti explorace yang menguji pengetahuan peserta mengenai aspek keselamatan jalan raya melalui pelbagai cabaran dan tugasan berkumpulan.
Program itu turut menekankan mesej utama keselamatan jalan raya, antaranya kepentingan mematuhi peraturan jalan raya, menggunakan peralatan perlindungan yang sesuai, mengawal kelajuan kenderaan, memberi tumpuan ketika memandu serta memupuk sikap saling prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Selain meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai keselamatan jalan raya, program tersebut turut menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan melalui pendekatan pendidikan yang santai dan interaktif.
Bagi memeriahkan program, pelbagai hadiah turut disediakan menerusi pertandingan dan cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Penganjuran KITARA membuktikan kerjasama erat antara institusi pendidikan, agensi penyelidikan dan komuniti mampu menjadi platform berkesan dalam membentuk budaya keselamatan jalan raya yang lebih baik, sekali gus menyokong agenda negara ke arah mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Selaras dengan tema"Jom Bersama Kita Membentuk Komuniti Lebih Selamat", program itu diharap dapat terus menyemai kesedaran bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama.