SEMANGAT kesukarelawanan terus disemarakkan apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) menganjurkan Program Sentuhan Kasih UKM@Johor bagi mendekatkan warga universiti dengan masyarakat setempat.
Program selama dua hari yang bertemakan 'Dari Kampus ke Komuniti, Menyebar Kasih dan Bakti' itu berlangsung di Kota Masai, Pasir Gudang serta Kampung Baru Sri Aman dan Rangkaian di Skudai.
Seramai 78 warga UKM berganding bahu bersama hampir 1,000 penduduk menerusi pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, ziarah kasih, saringan minda sihat dan sukan komuniti.
Pengarah Hal Ehwal Pelajar UKM merangkap Pengerusi Program Sentuhan Kasih UKM@Johor, Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi berkata, penglibatan mahasiswa dalam program kemasyarakatan amat penting kerana ia memberi peluang untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat di luar persekitaran kampus.
"Universiti tidak seharusnya hanya berada dalam lingkungan kampus. Kita perlu turun padang dan mendekati masyarakat.
"Apabila bergaul dengan komuniti, mahasiswa dapat belajar menyesuaikan diri, berkomunikasi dengan lebih baik serta mengasah kemahiran insaniah yang sukar diperoleh hanya melalui pembelajaran di bilik kuliah," katanya.
Beliau berkata, Program Sentuhan Kasih akan diperluaskan ke negeri-negeri lain dari semasa ke semasa sebagai usaha mengukuhkan jaringan antara universiti dan komuniti di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Komuniti Zon Kota Delima, Herman Ismadi Ismail berkata, program berkenaan membuka peluang kepada penduduk untuk mengenali UKM dengan lebih dekat, selain mengetahui pelbagai peluang dan inisiatif yang ditawarkan universiti.
"Saya amat berterima kasih kepada UKM kerana memilih kawasan kami untuk menjayakan Program Sentuhan Kasih.
"Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah berjaya merapatkan hubungan antara universiti dan komuniti.
"Kami berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat kebersamaan serta mengukuhkan lagi hubungan antara UKM dan masyarakat," katanya.
Menurut Herman, walaupun kira-kira 80 peratus penduduk di kawasan itu bekerja dalam sektor perindustrian dan bertugas pada hujung minggu, sambutan terhadap program tersebut tetap menggalakkan dengan kehadiran komuniti yang memberangsangkan.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang meluangkan masa menyantuni penduduk setempat.
Turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sufian Jusoh dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman.