KEBOLEHPASARAN mahasiswa Malaysia yang melanjutkan pengajian di Jepun terus diperkasakan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya Persatuan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ), yang menjadi platform mempertemukan pelajar dengan syarikat-syarikat terkemuka dari Malaysia dan Jepun.
Program yang berlangsung di Universiti Tokyo pada 13 Jun lalu itu memberi peluang kepada pelajar meneroka prospek kerjaya, membina rangkaian profesional serta berinteraksi secara langsung dengan bakal majikan dalam pelbagai sektor industri.
Presiden MSAJ, 'Ariqah Sarah Abdul Gaafar berkata, penganjuran karnival tersebut bertujuan meningkatkan pendedahan mahasiswa terhadap peluang kerjaya selain membantu mereka memahami keperluan industri sebelum menamatkan pengajian.
"Karnival Kerjaya MSAJ menjadi platform yang menghubungkan mahasiswa Malaysia dengan syarikat-syarikat terkemuka di Jepun dan Malaysia. Melalui program ini, pelajar bukan sahaja dapat meneroka peluang pekerjaan, malah memperoleh pendedahan mengenai kemahiran dan kompetensi yang diperlukan oleh industri," katanya.
Menurut beliau, graduan Malaysia yang menguasai bidang profesional serta mampu bertutur dalam bahasa Jepun mempunyai nilai tambah yang tinggi dan menjadi antara bakat yang dicari oleh syarikat antarabangsa.
"Penganjuran program itu mendapat sokongan pelbagai agensi Malaysia dan Jepun termasuk Kedutaan Malaysia di Jepun, TalentCorp, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Japan Student Services Organization (JASSO) serta Japan External Trade Organization (JETRO)," katanya.
Menurutnya, sebanyak 25 syarikat Malaysia dan Jepun mengambil bahagian dalam karnival tersebut dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, latihan industri dan pembangunan kerjaya kepada mahasiswa.
"Edisi kali ini turut menjadi lebih signifikan kerana berlangsung sejurus selepas lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun pada 9 Jun lalu, sekali gus mencerminkan hubungan erat Malaysia-Jepun dalam pembangunan modal insan, pendidikan tinggi dan kerjasama ekonomi.
"Hubungan strategik yang terjalin antara kedua-dua negara membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa Malaysia untuk menimba pengalaman industri di Jepun, sekali gus memahami budaya kerja, teknologi serta amalan profesional yang diamalkan oleh syarikat-syarikat antarabangsa," katanya.
Sementara itu, penganjuran Karnival Kerjaya MSAJ turut membuktikan keupayaan mahasiswa Malaysia di luar negara dalam menganjurkan program bertaraf antarabangsa, di samping memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui jaringan industri yang lebih luas.
Melalui inisiatif seperti ini, MSAJ terus memainkan peranan penting sebagai penghubung antara mahasiswa, industri dan kerajaan dalam melahirkan graduan Malaysia yang berdaya saing serta bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja global.