SEMANGAT memberi kembali kepada alma mater terus mekar apabila alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyumbang hampir RM200,000 bagi menyokong pembangunan universiti dan kebajikan mahasiswa menerusi program Alumni Balik Kampus 2026.
Pusat Perhubungan Alumni UKM menerima sumbangan berjumlah RM198,886.13 daripada para alumni sempena Hari Alumni UKM yang berlangsung baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM148,000 akan disalurkan kepada kolej-kolej kediaman dan Pusat Tanggungjawab (PTj) bagi membiayai tajaan 27 bilik pelajar serta penyediaan dua penapis air.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, Alumni Balik Kampus 2026 merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menyokong agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi inisiatif Alumni Back to Campus, yang mengiktiraf alumni sebagai aset strategik dan rakan pembangunan universiti.
"Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara alumni dan alma mater, malah membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pengalaman industri serta sumbangan yang memberi manfaat kepada mahasiswa, universiti dan masyarakat," katanya.
Beliau turut menyeru lebih ramai alumni menyertai program anjuran universiti bagi memastikan kecemerlangan UKM terus diperkukuh di peringkat nasional dan antarabangsa.
Program Alumni Balik Kampus yang berlangsung dari 18 hingga 21 Jun 2026 dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara alumni dan universiti, di samping menjadi platform untuk menyemai semangat kebersamaan, berkongsi idea serta menggalakkan budaya filantropi dalam kalangan bekas pelajar.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata, program tersebut bukan sekadar perhimpunan tahunan alumni, sebaliknya menjadi platform strategik yang menghubungkan alumni, universiti dan mahasiswa.
"Alumni merupakan aset penting universiti yang mampu menyumbang dalam pelbagai bentuk termasuk perkongsian kepakaran, pembangunan kerjaya mahasiswa, jaringan industri serta sokongan filantropi bagi memperkasa agenda pendidikan tinggi negara," katanya yang juga Penasihat Program Alumni Balik Kampus.
Sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai aktiviti diadakan termasuk Majlis Bacaan Yasin dan Forum Perdana Alumni, Konsert Gala Alumni: Melodi Sepanjang Zaman, Pertandingan Sukan Alumni Antara Kolej serta Majlis Hi-Tea Alumni yang menghimpunkan hampir 500 alumni daripada pelbagai generasi.
Majlis Hi-Tea yang menjadi acara kemuncak program disempurnakan oleh Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang juga alumni UKM kohort 1976.
Pada majlis sama, UKM turut melancarkan Alumni360, sebuah platform pembelajaran sepanjang hayat yang memberi peluang kepada alumni untuk terus meningkatkan pengetahuan, kemahiran profesional dan memperluas jaringan strategik sepanjang kehidupan mereka.