MPP UiTM dedah pelbagai inisiatif bantu pelajar, tolak tuduhan abaikan kebajikan

- Advertisement / Iklan -
Mohamad Adib Hazim (baju biru) bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia menolak dakwaan bahawa kebajikan mahasiswa di universiti itu diabaikan, sebaliknya menegaskan pelbagai inisiatif dan bantuan telah disediakan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan pelajar terus terpelihara.

Yang Dipertua (YDP) MPP UiTM Shah Alam sesi 2025/2026, Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali, berkata pihaknya berdiri teguh bersama pengurusan universiti dalam mempertahankan usaha berterusan yang dilaksanakan bagi membantu mahasiswa merangkumi aspek kewangan, makanan, penginapan, kesihatan mental, pengangkutan dan pembangunan akademik.

“Kami sebagai mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar menolak dakwaan bahawa kebajikan mahasiswa UiTM tidak dipelihara. Tiada mahasiswa yang tercicir daripada menerima bantuan atau menjadi rujukan kepada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan,” katanya dalam sidang media di kampus UiTM Shah Alam pada Jumaat.

Adib berkata, UiTM melalui HEP menyediakan pelbagai bentuk bantuan di bawah inisiatif UiTM Prihatin termasuk bantuan kecemasan, bantuan bencana, bantuan sara diri, bantuan tambang kematian dan sokongan kepada pelajar yang menjalani latihan industri.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, kebajikan mahasiswa tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan atau makanan, malah turut merangkumi pembangunan akademik dan kemahiran masa depan seperti kecerdasan buatan (AI) menerusi program yang dilaksanakan universiti.

Selain itu, pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan turut berpeluang memohon pinjaman sehingga RM3,000 melalui Tabung Keusahawanan Siswa bagi memulakan perniagaan.

- Advertisement / Iklan -

Dalam aspek kesihatan mental, Adib berkata UiTM menyediakan khidmat sokongan melalui Pusat Psikologi dan Kaunseling yang menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.

“Platform dan saluran bantuan sudah tersedia. Peranan kami sebagai MPP adalah menjadi jambatan komunikasi antara mahasiswa dan pihak pengurusan supaya setiap isu dapat disalurkan kepada pihak yang tepat untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen UiTM terhadap kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan kemudahan penginapan mesra OKU serta pelbagai sokongan lain bagi memudahkan urusan pembelajaran mereka.

Menurut Adib, UiTM ketika ini mempunyai 610 mahasiswa OKU dan 128 kakitangan OKU di seluruh sistem universiti.

Mengulas mengenai inisiatif kebajikan makanan, beliau berkata UiTM merupakan antara institusi yang menjadi perintis kepada konsep dapur siswa sebelum ia diperluaskan di peringkat nasional menerusi Dapur Siswa MADANI.

Selain itu, UiTM juga akan melaksanakan Menu Kasih Siswa (MKS) yang menawarkan makanan pada harga lebih rendah serta minuman percuma kepada pelajar yang memerlukan.

Di peringkat MPP pula, beberapa inisiatif seperti MPP Care, Ops Cakna, pemberian kit peperiksaan, agihan makanan kepada pelajar baharu serta cadangan program minyak motosikal dan minyak hitam percuma sedang dan akan terus dilaksanakan.

Mengulas hubungan antara MPP dan HEP, Adib berkata kerjasama erat antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan suara mahasiswa dapat dibawa terus kepada pengurusan universiti.

“MPP membawa suara mahasiswa, bukan suara pengurusan. Namun hubungan baik dan kerjasama perlu sentiasa dipelihara supaya setiap isu dapat ditangani melalui saluran yang betul dan menghasilkan penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Beliau berharap mahasiswa lebih proaktif menyalurkan aduan atau permasalahan kepada MPP serta memanfaatkan pelbagai bantuan dan program yang disediakan universiti.

“Janganlah kita hanya mencari kesalahan. Sebaliknya tanyalah apa yang telah kita sumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Kami akan terus mendukung agenda kebajikan mahasiswa supaya tiada pelajar yang tertinggal daripada menerima bantuan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.