UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melakar sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menerima kelulusan Malaysian Qualifications Agency (MQA) untuk menawarkan program Doktor Amalan Profesional (DPP) berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), baru-baru ini.
Kelulusan itu disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara sekali gus membuka laluan lebih luas kepada teknologis dan golongan profesional industri melanjutkan pengajian ke peringkat doktoral berasaskan amalan industri sebenar.
Berbeza dengan program Doktor Falsafah (PhD) konvensional yang lebih menumpukan penyelidikan teori, DPP memberi fokus kepada penyelesaian isu industri menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (Professional Practice-Based Learning - PPBL).
Menerusi pendekatan itu, pelajar akan menjalankan penyelidikan secara langsung di tempat kerja masing-masing bagi menghasilkan penambahbaikan proses yang berimpak tinggi serta penyelesaian praktikal yang lebih efektif, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada industri melalui aplikasi pengetahuan, teknologi dan inovasi dalam persekitaran kerja yang sebenar.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program berkenaan dibangunkan secara teliti dengan penglibatan rakan strategik industri bagi memastikan kurikulumnya relevan, praktikal dan memenuhi keperluan semasa pasaran pekerjaan.
“Pelaksanaan program ini turut mengambil kira keperluan negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berlatarbelakangkan TVET khususnya dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, sistem tenaga pintar, digitalisasi industri, automasi, dan teknologi mampan.
Program ini juga dilihat sebagai kesinambungan penting laluan pendidikan TVET sehingga ke peringkat kedoktoran, sekali gus memperkukuhkan pembangunan modal insan negara dalam bidang teknikal dan teknologi berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Penganalisis pendidikan melihat pengenalan DPP sebagai langkah strategik yang mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET yang sebelum ini sering dianggap terhad kepada pendidikan kemahiran peringkat rendah dan sederhana.
Kewujudan laluan doktoral berteraskan TVET ini diyakini mampu meningkatkan daya tarikan golongan profesional untuk terus meningkatkan kelayakan akademik tanpa perlu meninggalkan sektor pekerjaan masing-masing.