MSU himpun 700 pelajar tempatan dan antarabangsa dalam Gala Lingua Franca 2026

- Advertisement / Iklan -
Majlis penutup Gala Lingua Franca 2026 di MSU.

MANAGEMENT and Science University (MSU) mencipta kelainan apabila berjaya menghimpunkan lebih 700 pelajar tempatan dan antarabangsa menerusi penganjuran sulung Gala Lingua Franca 2026, program bahasa berskala besar yang memberi penekanan kepada pembelajaran secara praktikal dan interaktif.

Program anjuran Pusat Bahasa MSU itu berlangsung selama seminggu dengan pelbagai aktiviti antaranya choral speaking, pertandingan sajak, pameran poster serta program inap desa bagi memperkukuhkan penguasaan bahasa dan komunikasi pelajar.

Ketua Pusat Bahasa MSU, Shelly Farina Mohd. Bakri berkata, program tersebut diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran bahasa di luar bilik kuliah.

“Kita nak pastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi mempunyai set kemahiran komunikasi serta mampu menguasai bahasa asing,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan program berkenaan.

- Advertisement / Iklan -

Menurut beliau, penglibatan pelajar daripada pelbagai fakulti dan negara membuktikan bahasa mampu menjadi medium penyatuan budaya dan komunikasi global.

Antara negara yang terlibat antaranya Filipina, Zimbabwe, Syria, Pakistan, Maldives dan China, dengan sebahagian pelajar antarabangsa turut mengikuti aktiviti budaya seperti program inap desa di Kampung Haji Dorani bagi mendalami bahasa serta budaya masyarakat tempatan.

- Advertisement / Iklan -

“Bila kita bercakap mengenai bahasa, ia bukan sekadar komunikasi semata-mata. Pelajar juga perlu memahami budaya, adat dan tradisi supaya mereka lebih menghargai bahasa yang dipelajari,” jelasnya.

Dalam pada itu, pertandingan choral speaking muncul antara aktiviti paling mendapat sambutan apabila melibatkan kira-kira 150 pelajar secara keseluruhan.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi pertandingan sajak yang dibuka kepada kategori sekolah dan universiti.

Tambah Shelly Farina, sambutan positif daripada pelajar mendorong pihak universiti untuk meneruskan program berkenaan pada masa hadapan dengan lebih banyak aktiviti dan penglibatan lebih meluas.

“Harapan kami, pada siri akan datang lebih ramai pelajar dapat mengambil bahagian dan menggunakan bahasa secara praktikal, bukan hanya di dalam kelas,” katanya.

Antara pengisian program termasuk Malay Language Discourse: ‘The Art of Wordplay’, Cultural Exploration: Inap Desa di Kampung Haji Dorani, English Choral Speaking dan Malam Kebudayaan Gala Lingua Franca 2026.