UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most Virtual Industrial Design Innovation Projects Exhibition in a Metaverse Platform sempena Karnival Kerjaya UnisZa: Student Talent and Recruitment (STaR) 2026.
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, sebanyak 107 projek inovasi dipamerkan sepenuhnya melalui platform metaverse yang melibatkan keseluruhan proses pameran, penjurian serta penyampaian hadiah kepada pemenang.
Beliau berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa mahasiswa tempatan juga memiliki kemampuan untuk menyerlah dalam bidang inovasi dan teknologi bertaraf tinggi.
"STaR Carnival 2026 adalah hasil kerjasama UniSZA dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkasa agenda transformatif keusahawanan digital negara melalui inovasi serta teknologi.
"Kejayaan itu membuktikan bahawa pelaburan kerajaan dalam pembangunan bakat serta inovasi anak muda mampu memberi impak besar kepada negara. Malah ia mencerminkan keupayaan mahasiswa untuk meneroka potensi teknologi masa depan secara lebih kreatif dan kompetitif," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pengiktirafan MBOR itu disampaikan oleh Pegawai Rasmi Siti Hajar Johor pada Majlis Penutupan Karnival STaR 2026 yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Rahmah Mohd Din, di Kampus UniSZA Gong Badak.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Fazdzli berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengangkat nama UniSZA di persada nasional, malah mengukuhkan lagi kedudukan universiti sebagai institusi yang menerajui inovasi pendidikan tinggi berasaskan teknologi digital serta pembangunan bakat demi masa depan negara.
"STaR Carnival 2026 turut menjadi platform strategik yang mempertemukan mahasiswa dengan industri melalui pelbagai pengisian seperti sesi walk-in interview, simulasi temu duga berasaskan kecerdasan buatan (AI), pameran kerjaya serta seminar pembangunan bakat dan keusahawanan," katanya. _ Bernama