SENYUMAN mesra penduduk kampung, alunan gamelan dan sambutan penuh adat Jawa menjadi pengalaman pertama yang menyentuh hati delegasi mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebaik tiba di Yogyakarta bagi menyertai Program Global Leadership Well-Being bersama mahasiswa Universitas Teknologi Yogyakarta (UTY).
Suasana harmoni jelas dirasai apabila komuniti kampung menyambut delegasi UPNM dengan penuh sopan santun dan budaya tradisional yang masih kuat diamalkan masyarakat Jawa sehingga hari ini. Sambutan itu membuatkan para mahasiswa bukan sekadar hadir sebagai tetamu, tetapi diterima seperti keluarga sendiri.
Sepanjang program di Desa Wisata Plesiran Birmomarta Pengeran Istimewa Sleman Yogyakarta, mahasiswa UPNM dan UTY bersama-sama menyelami keunikan budaya masyarakat Yogyakarta.
Mahasiswa berpeluang mempelajari seni muzik gamelan, memahami sejarah budaya Jawa yang kaya dengan nilai warisan serta mencuba sendiri alat muzik tradisional bersama penduduk setempat.
Tidak hanya itu, para peserta turut menikmati makanan tradisional seperti gudeg dan bakpia sambil mempelajari kelembutan bahasa Jawa yang penuh dengan adab dan rasa hormat dalam komunikasi harian masyarakatnya.
Apa yang paling bermakna, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara mahasiswa UPNM dan UTY, malah menjadi platform memperkenalkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di mata masyarakat luar negara melalui pertukaran budaya dan pengalaman antarabangsa.
Bagi para mahasiswa, pengalaman di bumi Yogyakarta ini bukan sekadar lawatan budaya, tetapi perjalanan yang membuka mata tentang nilai perpaduan, persahabatan dan penghargaan terhadap warisan Nusantara yang begitu berharga.