DARIPADA dewan kuliah ke pentas persembahan, itulah perjalanan 12 finalis Senada Putra 19 yang berjaya mencuri perhatian penonton menerusi bakat nyanyian luar biasa biarpun kebanyakannya bukan datang daripada bidang seni atau muzik.
Ada yang mengambil jurusan kejuruteraan, sains pertanian, pendidikan, perniagaan dan sains sosial, namun minat mendalam terhadap seni persembahan menjadi titik penyatuan mereka di pentas berprestij Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
Dengan sokongan lebih 130 kru produksi, Senada Putra 19 bukan sekadar pertandingan nyanyian biasa, sebaliknya menjadi platform mengetengahkan bakat terpendam pelajar tahun pertama serta membuktikan dunia akademik dan seni boleh bergerak seiring.
Johan pertandingan menjadi milik Mohamad Haikal Aiman Abdullah dari Kolej Canselor yang berjaya memukau juri dengan persembahan penuh bertenaga dan karisma.
Tempat kedua pula disandang oleh Bibi Rosdiana Ibrahim Ali dari Kolej Dua Belas, manakala Nur ‘Aina Safiyyah Radzi dari Kolej Canselor melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
Dalam pada itu, Constantine Allan Henry dari Kolej Empat Belas membawa pulang Anugerah Persembahan Terbaik.
Qudra Aleeya Maiysara Salfian dari Kolej Tun Dr Ismail pula mencuri tumpuan apabila membolot dua pengiktirafan iaitu Anugerah Kostum Terbaik serta Anugerah Peserta Akademi Seni Senada Putra Terbaik Keseluruhan.
Kolej Canselor mengukuhkan dominasi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Produksi Kolej Terbaik, sekali gus membuktikan kekuatan kerja berpasukan dan kreativiti luar biasa seluruh warga kolej.
Menambah kemeriahan, Muhammad Aizam Syafiq Huzairi dari Kolej Canselor turut menerima Anugerah Khas Choco Albab.
Lebih membanggakan, pertandingan berprestij itu diadili oleh barisan juri profesional yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail serta penyanyi, Aisha Retno.
Kehadiran tiga figura besar ini sekali gus menyerlahkan kredibiliti pertandingan sebagai platform seni yang berkualiti tinggi dan berprestij. - Sinar varsity