Pingat, pengorbanan dan air mata seorang atlet UiTM

- Advertisement / Iklan -
Muhammad Hamka Istijab membuktikan semangat juang mampu mengatasi cabaran kecederaan dan kesukaran hidup demi masa depan.

MINAT mendalam terhadap sukan taekwondo sejak kecil mendorong Muhammad Hamka Istijab, 23, untuk terus aktif dalam arena sukan taekwondo sehingga berjaya mewakili negeri dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam pelbagai kejohanan.

Graduan Diploma Sains Komputer dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Jasin, Melaka itu berkata, dia mula terlibat dalam sukan berkenaan sejak usia lima tahun sebelum mula menyertai pertandingan pertama ketika berusia 13 tahun.

Menurut anak keempat daripada empat beradik yang berasal dari Johor Bahru itu, dia pernah mewakili Johor dan Perak dalam sukan berkenaan sejak di bangku sekolah.

“Saya mula serius dalam taekwondo sejak tingkatan satu hingga tahun 2024. Tingkatan satu dan dua saya wakil Johor, manakala tingkatan tiga dan empat saya wakil Perak.

- Advertisement / Iklan -

“Lepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sambung belajar diploma dan memang berniat mahu wakil UiTM pula,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini.

Hamka berkata, dia dipilih sebagai atlet taekwondo UiTM Melaka selepas melalui sesi pemilihan atlet sebelum menyertai kejohanan Mini Karisma pada 2022 dan Super UiTM sehingga berjaya meraih pingat perak.

- Advertisement / Iklan -

Sepanjang pembabitannya dalam sukan taekwondo, dia pernah meraih pelbagai pingat termasuk emas, perak dan gangsa selain berjaya mewakili Johor, Perak serta UiTM dalam kejohanan sukan tersebut.

Menurut Hamka, cabaran terbesar sepanjang bergelar mahasiswa adalah membahagikan masa antara latihan, pertandingan dan pengajian.

“Kadang-kadang peperiksaan pun saya terpaksa tangguh sebab perlu pergi training atau pertandingan.

“Kalau dapat tugasan, saya akan cuba siapkan awal sebab lepas latihan memang penat dan susah nak buat kerja,” katanya.

Katanya, sokongan terbesar sepanjang pengajian datang daripada keluarganya terutama sekali mamanya, Noorsalha binti Meor Razaly, 56, para pensyarah selain bantuan rakan-rakan termasuk Airudin, Nabil dan Shahzuan yang banyak membantunya dalam pelajaran ketika dia terpaksa menghadiri latihan dan pertandingan.

“Saya pernah fikir mahu berhenti belajar sebab masalah kewangan selepas ayah, Istijap bin Sabari, 63, meninggal dunia ketika saya masih di tingkatan tiga.

“Tapi mama suruh teruskan belajar dan dia cakap dia akan sokong saya,” katanya.

Hamka berkata, antara pengalaman paling sukar sepanjang bergelar atlet ialah apabila mengalami kecederaan koyakan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan meniskus pada lutut kanan ketika menyertai kejohanan pada tahun 2024.

“Saya sedang lawan atlet Terengganu ketika itu dan lutut saya berbunyi beberapa kali sebelum saya tidak dapat bangun untuk meneruskan perlawanan,” katanya.

Katanya, dia menjalani pembedahan pada November tahun lalu selepas tamat pengajian diploma dan kini masih dalam proses pemulihan.

Kini, Hamka sedang menunggu panggilan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan.

“Saya bercita-cita mahu jadi cikgu dan mendidik generasi akan datang,” katanya.

Katanya, nasihat paling penting yang mahu dikongsikan kepada pelajar lain adalah supaya menyeimbangkan akademik dan sukan.

“Jadi, kalau nak berjaya tu doa usaha, tawakal kerana kalau doa dah usaha je tak boleh kalau tak boleh tawakal. Dia kena complete diri dia,” katanya.