PEMBELAJARAN hari ini bukan lagi terhad dalam bilik kuliah semata-mata, sebaliknya semakin meluas hingga ke peringkat antarabangsa.
Itulah yang dibuktikan menerusi Program International Mobility Programme for Academic and Cultural Transformation (IMPACT) 2026 anjuran Universitas Terbuka dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ).
Seramai 13 pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) terlibat dalam program ini yang dilaksanakan dalam dua fasa — secara dalam talian bermula 26 Januari hingga 20 Februari 2026, sebelum diteruskan secara bersemuka di Jakarta dari 5 hingga 11 April 2026.
Sepanjang berada di Indonesia, peserta bukan sekadar ‘travel’ akademik, tetapi turut mengikuti pelbagai pengisian ilmiah dan pengalaman lapangan yang membuka perspektif global baharu.
Antara aktiviti utama termasuk Seminar Antarabangsa bertajuk “Building Sustainable and Globally Competitive MSMEs in the Digital Era”, lawatan ke kampus Universitas Terbuka Jakarta, Bursa Saham Indonesia serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Bandung.
Selain itu, sesi pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia turut menjadi antara momen penting yang mengeratkan hubungan dua negara serumpun.
Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa pelajar RPJJ, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompetitif dan global.
Seorang peserta, Aziah Abdul Majid, berpandangan program seperti ini wajar diperluaskan kerana memberi pendedahan nyata di luar konteks pembelajaran teori semata-mata.
Sementara itu, Ketua Delegasi IMPACT 2026, Dr. Norhanishah Mohamad Yunus menzahirkan penghargaan kepada pihak Universitas Terbuka atas sambutan mesra serta perancangan program yang tersusun.
"Kita berharap kerjasama antara USM dan Universitas Terbuka akan terus diperkukuh melalui lebih banyak program mobiliti pada masa hadapan," katanya.