MAHASISWA Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sekali lagi membuktikan kemampuan mereka di pentas global apabila berjaya membawa pulang pingat emas dan perak dalam program Regional Global Leadership for Sustainable Economy & Well-Being Immersion 2026 yang berlangsung di Universitas Ahmad Dahlan dari 23 hingga 30 April lalu.
Kejayaan membanggakan itu diraih menerusi pembentangan bertajuk Military-Civic Leadership: Bridging Military Discipline with Global Sustainability yang disampaikan oleh PKDT, Mohamad Rafiq Haririe dan Nik Hadif Iqbal bin Nik Hasan. Pembentangan tersebut berjaya menarik perhatian panel juri sekali gus melayakkan mereka menerima pingat emas dalam program berprestij berkenaan.
Tidak terhenti di situ, UPNM turut membawa pulang pingat perak menerusi pembentangan bertajuk Empowering the Next Generation to Drive Global Change yang disampaikan oleh Nur Hanim binti Mohd Zahir dan Nur Dalili binti Kamal.
Program antarabangsa itu menghimpunkan kira-kira 150 peserta daripada 12 universiti di Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi platform penting untuk mahasiswa mengasah bakat kepimpinan selain berkongsi idea, inovasi dan amalan terbaik di peringkat global.
Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan mahasiswa UPNM bukan sahaja mampu bersaing di peringkat antarabangsa, malah berupaya mengetengahkan idea berkualiti dalam bidang kepimpinan dan kesejahteraan diri.
Kejayaan itu turut memperkukuh reputasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sebagai institusi pendidikan tinggi yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik dan ketenteraan, tetapi juga dalam melahirkan mahasiswa berwibawa, berketerampilan dan berjiwa kepimpinan.
Selain pencapaian pertandingan, penglibatan aktif mahasiswa dalam program antarabangsa seperti ini turut memberi nilai tambah dari segi kemahiran komunikasi global, pemikiran kritis, kerja berpasukan serta keyakinan diri ketika berinteraksi dengan peserta daripada pelbagai latar belakang budaya dan negara.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPNM, Prof Kol Dr Khairol Amali bin Ahmad berkata, kejayaan tersebut membuktikan mahasiswa UPNM memiliki daya saing tinggi dan mampu menyerlah di peringkat global.
Menurut beliau, penyertaan dalam program antarabangsa bukan sahaja membuka peluang jaringan akademik dan kepimpinan, malah membantu meningkatkan keyakinan mahasiswa untuk tampil sebagai pemimpin masa depan yang kompeten dan berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.