UNIVERSITI Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dua inovasi hasil ciptaan pelajarnya dilihat berpotensi membantu komuniti di Jepun, khususnya dalam situasi kecemasan dan pasca bencana.
Produk berkenaan, TAJU Charger dan Flood Education Recovery Kit, dibangunkan oleh empat pelajar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP) melalui program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dengan Kepujian di bawah bimbingan Norfariza Ab Wahab.
TAJU Charger merupakan pengecas telefon mudah alih bersaiz kompak yang mampu mengecas pelbagai peranti serentak, sekali gus sesuai digunakan di kawasan bencana atau pusat pemindahan sementara yang berdepan kekangan sumber tenaga.
Sementara itu, Flood Education Recovery Kit memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan video pendidikan interaktif berkaitan kebersihan, keselamatan serta aktiviti sesuai untuk mangsa banjir, khususnya kanak-kanak.
Kedua-dua inovasi ini dihasilkan menerusi kerjasama antara UTeM, Nagaoka University of Technology dan Shibata City Office melalui projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).
Menurut Dekan FTKIP, Mohd Asyadi Azam Mohd Abid, projek tersebut dibangunkan berdasarkan permasalahan sebenar komuniti di Jepun menggunakan pendekatan Design Thinking.
“Daripada tujuh projek akhir yang dibentangkan, hanya dua dipilih untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelajar perlu melalui dua peringkat penilaian sebelum dipilih, termasuk pembentangan pertengahan dan akhir bersama panel antarabangsa.
Kemuncak program menyaksikan pelajar UTeM membentangkan hasil inovasi mereka dalam bengkel kolaborasi industri, akademia dan kerajaan di Shibata City Hall, Jepun, baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Massila Kamalrudin berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan pelajar universiti itu dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi di peringkat global.
“Penglibatan aktif pelajar dalam projek berasaskan komuniti antarabangsa ini selari dengan agenda pengantarabangsaan universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta peka terhadap keperluan masyarakat sejagat,” katanya.
Tambah beliau, UTeM akan terus menyokong inisiatif sebegini bagi memperkasa ekosistem pendidikan holistik serta menggalakkan lebih banyak inovasi yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen UTeM dalam memperkasa pendidikan berimpak tinggi melalui gabungan elemen teknikal, inovasi dan khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa, sejajar dengan aspirasi “Live Never Stop Learning”.