Dari TVET ke universiti: Pelajar teroka laluan masa depan

- Advertisement / Iklan -
University Exploration Day TVETMARA Kemaman buka peluang sambung ijazah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi

NAK sambung belajar lepas TVET tapi masih blur nak pilih laluan? Itu antara persoalan yang cuba dijawab menerusi penganjuran University Exploration Day oleh TVETMARA Kemaman buat julung kalinya pada 28 April lalu.

Program ini himpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dalam satu ruang, sekali gus buka peluang kepada pelajar untuk explore pilihan pendidikan lanjutan dengan lebih jelas.

TVETMARA Kemaman terus mengukuhkan peranannya sebagai pilihan bijak dalam laluan pendidikan teknikal dan vokasional apabila program ini turut melibatkan pelajar jemputan dari Kolej Profesional MARA Indera Mahkota.

Fokus utama adalah memberi pendedahan menyeluruh tentang peluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

- Advertisement / Iklan -

Inisiatif ini selari dengan aspirasi TVETMARA untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah bersedia melangkah ke universiti dengan kelebihan pengalaman praktikal yang kukuh.

Antara IPT yang terlibat termasuk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA Kampus Dungun serta rangkaian institusi Universiti Kuala Lumpur seperti British Malaysian Institute (BMI), Malaysia France Institute (MFI).

- Advertisement / Iklan -

Juga Malaysia Institute of Industrial Technology (MITEC), Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (MICET), Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (MIMET) dan Malaysian Spanish Institute (MSI).

Sepanjang program berlangsung, para pempamer berkongsi taklimat mengenai program ijazah yang ditawarkan, selain membuka ruang interaksi secara langsung dengan pelajar untuk dapatkan maklumat lebih mendalam tentang laluan kerjaya dan bidang pilihan masing-masing.

Lebih menarik, TVETMARA Kemaman turut giat melaksanakan usaha pemetaan silibus bersama pihak universiti bagi memastikan kesepadanan kurikulum. Ini sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk memperoleh pemindahan kredit apabila melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, satu kelebihan yang boleh mempercepatkan tempoh pengajian mereka.

Pendekatan berteraskan hands-on learning yang diterapkan di TVETMARA menjadi nilai tambah utama, membolehkan pelajar menguasai kemahiran praktikal sebenar industri sebelum melangkah ke alam universiti.

Gabungan pengalaman teknikal dan laluan akademik ini menjadikan graduan TVETMARA lebih kompetitif serta relevan dengan kehendak pasaran kerja semasa.

Penganjuran program ini diharap dapat diteruskan sebagai platform strategik dalam memperkasa ekosistem pendidikan TVET, sekali gus mengukuhkan peranan TVETMARA sebagai pemangkin dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional negara.