KOMITMEN menyokong pendidikan anak-anak barisan keselamatan negara terus diperkukuh apabila sebanyak RM100,000 dana biasiswa disalurkan kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Inisiatif menerusi Program DSA & NATSEC Asia Graduate Fund itu memberi manfaat kepada 48 pelajar berkeperluan bagi Sesi Akademik 2025/2026, khususnya dalam kalangan anak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Majlis penyerahan simbolik cek berlangsung sempena penutup DSA & NATSEC Asia 2026 di MITEC, yang menyaksikan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Hj Ahmad menerima sumbangan tersebut, disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bagi penerima, bantuan ini bukan sekadar meringankan beban kewangan, tetapi menjadi pemangkin semangat untuk terus melangkah dalam pengajian sambil membawa harapan keluarga yang berkhidmat menjaga keselamatan negara.
Inisiatif ini dilihat sebagai kesinambungan sokongan kepada generasi pelapis yang bakal meneruskan tanggungjawab mempertahankan negara pada masa hadapan.