Pengangkutan bahan kimia berbahaya: Sejauh mana keselamatan orang awam dilindungi?

- Advertisement / Iklan -

Insiden kebocoran gas ammonia yang berlaku berhampiran Plaza Tol Seremban baru-baru ini seharusnya membuka mata semua pihak terhadap risiko sebenar pengendalian dan pengangkutan bahan kimia berbahaya di jalan raya awam.

Kejadian tersebut mengakibatkan beberapa individu termasuk jurutol dan pengawal keselamatan mengalami masalah pernafasan akibat terhidu gas, sekali gus membuktikan bahawa bukan sahaja pekerja industri terdedah kepada bahaya bahan kimia, malah orang awam dan pekerja sokongan di kawasan awam turut berisiko.

Persoalan yang wajar ditimbulkan ialah sejauh manakah keselamatan orang awam benar-benar dilindungi apabila bahan kimia berbahaya diangkut menggunakan lori di jalan raya yang digunakan setiap hari oleh masyarakat umum.

Bahan kimia seperti ammonia, klorin, asid dan pelbagai gas industri lain memainkan peranan penting dalam menyokong sektor ekonomi negara.

- Advertisement / Iklan -

Ia digunakan secara meluas dalam industri makanan, pertanian, pembuatan serta sektor kesihatan. Namun, sebelum sampai ke destinasi, bahan-bahan ini perlu melalui satu fasa yang paling berisiko, iaitu proses pengangkutan.

Berbeza dengan kilang atau loji industri yang mempunyai kawasan terkawal dengan prosedur operasi yang ketat, jalan raya merupakan ruang terbuka yang digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

Ia melibatkan pemandu, penunggang motosikal, pekerja lebuh raya, serta orang awam yang kebanyakannya tidak mempunyai tahap kesedaran atau pengetahuan khusus berkaitan risiko bahan kimia.

Pengangkutan bahan kimia: Fasa paling kritikal

Dalam rantaian pengurusan bahan kimia, proses pengangkutan merupakan antara fasa paling berisiko. Bahan kimia yang stabil di stor atau premis industri boleh bertukar menjadi ancaman serius apabila dipindahkan menggunakan kenderaan di kawasan awam.

Risiko kemalangan jalan raya, kegagalan struktur bekas, tekanan suhu serta pengendalian yang tidak betul boleh menyebabkan kebocoran atau letupan yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dan alam sekitar.

Sebarang kelemahan dalam penyelenggaraan kenderaan, reka bentuk tangki, injap keselamatan atau sistem pengesanan kebocoran boleh membawa kepada insiden yang menjejaskan bukan sahaja pemandu lori, malah ratusan pengguna jalan raya lain.

Oleh itu, pengangkutan bahan kimia tidak boleh disamakan dengan pengangkutan barangan biasa dan memerlukan perancangan rapi serta pematuhan undang-undang yang ketat.

Dari sudut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), insiden ini menimbulkan beberapa persoalan kritikal, antaranya berkaitan keadaan tong gas, kaedah penyimpanan, penyusunan muatan, keadaan kenderaan serta tahap pematuhan terhadap prosedur keselamatan semasa pengangkutan bahan kimia berbahaya.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dengan jelas meletakkan tanggungjawab kepada majikan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan bukan sahaja pekerja mereka, tetapi juga mana-mana individu lain yang mungkin terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

Dalam konteks insiden kebocoran gas ammonia ini, majikan bertanggungjawab memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, muatan disusun dan diikat dengan betul serta tong atau bekas bahan kimia diselenggara secara berkala.

Kegagalan dalam mana-mana aspek ini boleh membawa implikasi undang-undang sekiranya berlaku kecuaian.

Majikan juga wajib memastikan pemandu menerima latihan mencukupi berkaitan pengendalian bahan kimia berbahaya, termasuk penggunaan alat perlindungan diri dan tindakan kecemasan.

Dibawah AKKP 1994, pengurusan bahan kimia tertakluk kepada Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 atau CLASS Regulations 2013.

Peraturan ini mewajibkan majikan dan pembekal memastikan bahan kimia berbahaya diklasifikasikan dengan betul, dilabel dengan jelas, dibungkus dalam bekas yang sesuai dan kukuh, disertakan dengan Helaian Data Keselamatan atau Safety Data Sheet (SDS) yang lengkap dan terkini.

Dalam konteks pengangkutan bahan kimia, SDS berfungsi sebagai rujukan penting sekiranya berlaku kecemasan.

Selain menyediakan SDS, pembekal juga bertanggungjawab memaklumkan kepada majikan dan pihak pengangkut tentang potensi bahaya bahan kimia, termasuk risiko semasa pengangkutan dan langkah kawalan yang perlu diambil.

Dalam insiden kebocoran bahan kimia, punca utama bukan semata-mata kesilapan pemandu atau kemalangan jalan raya, tetapi kegagalan struktur bekas atau tangki yang digunakan.

Justeru, tanggungjawab pembekal dan pengilang bahan kimia adalah amat kritikal dalam memastikan bekas, tong atau tangki bahan kimia berada dalam keadaan selamat, kukuh dan sesuai untuk pengangkutan.

Pembekal bertanggungjawab memastikan bekas atau tangki bahan kimia direka bentuk mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan, tahan tekanan, tidak berkarat, tidak rosak serta sesuai dengan sifat fizikal dan kimia bahan yang dibawa.

Antara peraturan lain yang boleh dirujuk ialah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 atau USECHH Regulations 2000 yang menekankan keperluan menjalankan penilaian risiko bahan kimia bagi mengenal pasti potensi bahaya dan tahap pendedahan.

Di bawah USECHH, majikan wajib mengenal pasti risiko pendedahan bahan kimia berbahaya kepada pekerja dan individu lain yang mungkin terdedah akibat aktiviti kerja.

Kesan Bahaya Kepada Orang Awam

Insiden kebocoran gas Ammonia di Plaza Tol Seremban membuktikan bahawa orang awam merupakan kumpulan paling terdedah dan sering tidak bersedia menghadapi risiko bahan kimia.

Sekiranya berlaku kebocoran, pelanggaran atau kegagalan teknikal kenderaan yang membawa bahan kimia, kesannya boleh berlaku dalam sekelip mata.

Pendedahan kepada gas ammonia walaupun dalam tempoh singkat, menyebabkan pedih mata, batuk dan sesak nafas kepada pekerja tol dan pengawal keselamatan yang terhidu gas tersebut walaupun tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti pengangkutan.

Dalam kepekatan tinggi, gas ini berpotensi menyebabkan kecederaan serius pada paru-paru.

Malangnya, kebanyakan pengguna jalan raya tidak mempunyai alat perlindungan diri atau pengetahuan untuk bertindak balas dengan selamat dalam situasi kecemasan sedemikian.

Oleh itu, kegagalan dalam pengurusan pengangkutan bahan kimia bukan sahaja isu keselamatan pekerjaan, tetapi turut menjadi isu keselamatan awam dan kesihatan komuniti.

Keperluan pendekatan lebih tegas dan menyeluruh

* Insiden ini wajar dijadikan titik tolak kepada penambahbaikan sistem keselamatan pengangkutan bahan kimia di negara ini. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk:

* Penilaian risiko bahan kimia dan audit keselamatan secara berkala

* Penguatkuasaan pemeriksaan kenderaan dan tangki bahan kimia yang lebih ketat

* Penilaian laluan berisiko tinggi seperti plaza tol, terowong dan kawasan bandar

* Latihan khusus serta pensijilan kompetensi untuk pemandu kenderaan bahan kimia berbahaya

* Pelan tindak balas kecemasan yang jelas melalui kerjasama antara syarikat, pihak berkuasa dan agensi penyelamat

* Peningkatan kesedaran awam mengenai tindakan asas sekiranya berlaku kebocoran bahan kimia

Kesimpulannya, pengangkutan bahan kimia berbahaya bukan sekadar isu logistik, tetapi melibatkan tanggungjawab undang-undang, etika dan kemanusiaan.

Majikan dan pembekal perlu memahami bahawa setiap keputusan dalam pengurusan pengendalian bahan kimia memberi kesan langsung kepada keselamatan pekerja dan orang awam.

Insiden kebocoran gas ammonia ini seharusnya menjadi pengajaran agar pematuhan undang-undang, penilaian risiko dan budaya keselamatan sentiasa diberi keutamaan demi memastikan jalan raya kekal selamat untuk semua.

* Rashidah A Rahim ialah Pensyarah, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaa, Faculty of Health and Life Sciences di Management and Science University (MSU)