JIKA dahulu mereka sibuk menemu bual graduan, merakam kisah kejayaan dan menyampaikan cerita orang lain kepada pembaca, kini tiba giliran mereka pula diraikan.

Itulah perjalanan bekas Kadet Wartawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang pernah bertugas sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-68 dan ke-69, sebelum menamatkan pengajian serta melangkah ke alam pekerjaan.

Sepanjang bertugas, mereka bukan sekadar membantu menghasilkan berita konvokesyen, malah berpeluang mendengar sendiri kisah ketabahan graduan, pengorbanan keluarga dan perjalanan panjang yang membawa seseorang ke pentas kejayaan.

Pengalaman itu turut meninggalkan kesan kepada diri mereka, khususnya dalam membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan keupayaan memahami cerita daripada perspektif orang lain.

- Advertisement / Iklan -

Antara bekas Kadet Wartawan yang mencatat pencapaian membanggakan ialah Muhammad Hazim Azatul Amery, penerima Anugerah Naib Canselor (Kepimpinan), dan Megat Muhammad Farhan Daniel Megat Suwardi, penerima Anugerah Alumni.

Lebih menarik, kedua-duanya kini bekerja sebagai Jurutera Proses Pembuatan di ExxonMobil.

- Advertisement / Iklan -

Bagi Hazim, pengalaman mendengar dan menulis kisah orang lain mengajarnya supaya tidak terburu-buru membuat penilaian, sebaliknya memahami latar belakang setiap individu terlebih dahulu.

No Image Caption

“Sebagai Kadet Wartawan, saya belajar untuk mendengar sebelum membuat kesimpulan. Setiap graduan mempunyai pengalaman yang berbeza, dan tanggungjawab kami ialah memahami serta menyampaikannya dengan tepat.

“Pengalaman itu membentuk saya menjadi lebih peka, sabar dan bertanggungjawab ketika membawa suara orang lain,” katanya.

Megat pula menyifatkan pengalaman tersebut sebagai latihan yang membantunya membina keyakinan, disiplin dan kemahiran mengurus tekanan, terutama ketika perlu menyiapkan tugasan mengikut masa ditetapkan.

“Menemu bual individu yang belum dikenali mengajar saya untuk berani memulakan perbualan, mengemukakan soalan dengan jelas dan menghormati pandangan orang lain.

“Apabila perlu menyiapkan berita mengikut masa yang ditetapkan, saya belajar mengurus tekanan serta menerima teguran untuk memperbaiki hasil kerja,” katanya.

Turut mencuri perhatian ialah Tsai Jia Yuh, penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2026 daripada Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, yang kini menerima tawaran sebagai Jurutera Kualiti Produk di Micron Singapura.

Menurutnya, pengalaman menulis kisah graduan membentuk sikap lebih teliti, terutama ketika menyemak fakta dan memahami konteks sebelum sesuatu cerita disampaikan.

“Menulis kisah graduan mengajar saya bahawa setiap perkataan membawa tanggungjawab. Saya perlu menyemak maklumat, memahami konteks dan memilih cara penyampaian yang menghormati individu yang berkongsi cerita.

“Proses itu membentuk saya menjadi lebih teliti, terbuka terhadap maklum balas dan yakin berkomunikasi,” katanya.

Selain mereka, beberapa bekas anggota pasukan turut membina kerjaya dalam bidang masing-masing.

Muhammad Syamil Mohd Zuhairini kini bertugas sebagai Jurutera Reka Bentuk Struktur di Panasonic Appliances Air-Conditioning R&D Malaysia Sdn Bhd, manakala Nurish Airiesya Mohamad Azri, penerima Anugerah Graduan Kepimpinan UTM, bekerja sebagai Jurutera Proses di Rianlon Corporation Malaysia.

Nurul Amelyawati Ali Rofiq turut berkhidmat sebagai Jurutera Proses di Maruwa Malaysia Sdn Bhd, sementara Nur Amirah Wajihah Roslan kini bekerja sebagai protege di Maxit Corporation Sdn Bhd.

Seorang lagi bekas anggota pasukan, Muhammad Hadi Rosli yang juga penerima Anugerah Graduan Kepimpinan UTM, kini berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Civil & Structural Engineering Consultants Sdn Bhd.

Di sebalik perjalanan mereka, inisiatif Kadet Wartawan itu dicetuskan Timbalan Pendaftar UTMAlumni, Rohaizan Khairul Anuar dan Pegawai Tadbir Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Nur’aina Osman.

Bagi Nur’aina, peluang yang diberikan kepada mahasiswa bukan sekadar untuk membantu liputan konvokesyen, tetapi menjadi ruang pembelajaran bagi membentuk empati, ketepatan dan integriti dalam menyampaikan sesuatu cerita.

No Image Caption

“Kami mahu pelajar mengalami sendiri proses mendengar, memahami dan menyampaikan kisah manusia. Apabila mereka diberi amanah menulis pengalaman orang lain, mereka belajar tentang empati, ketepatan dan integriti.

“Nilai ini akan terus berguna dalam apa-apa bidang kerjaya yang mereka ceburi,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kejayaan bekas anggota pasukan menamatkan pengajian dan memulakan kerjaya sebagai detik membanggakan.

“Dahulu, kami membimbing mereka merakam kejayaan graduan. Kini, kami melihat mereka sendiri diraikan atas pencapaian masing-masing.

“Harapan kami agar pengalaman sebagai Kadet Wartawan terus mengingatkan mereka untuk peka terhadap manusia dan bertanggungjawab terhadap setiap amanah,” katanya.

Sepanjang penugasan, mahasiswa berkenaan turut mendapat bimbingan pasukan penyunting, penulis, penyelaras dan jurugambar UTM yang membantu memperkemas soalan temu bual, menyusun fakta serta menghasilkan laporan yang lebih tersusun.

Pengalaman bekerja dalam pasukan itu juga mengajar mereka menerima teguran, memperbaiki hasil penulisan dan mengimbangi tanggungjawab liputan dengan tuntutan pengajian.

Kini, apabila mereka sendiri bergelar graduan, pengalaman berada di sebalik tabir liputan konvokesyen pastinya membawa makna berbeza.

Mereka pernah merakam kegembiraan orang lain, mendengar harapan keluarga dan menulis kisah perjuangan graduan. Kali ini, mereka pula menjadi sebahagian daripada cerita kejayaan yang diraikan.