BUKAN sekadar mengejar kemenangan, kejohanan sukan di universiti juga menjadi ruang untuk mahasiswa menguji kemampuan diri, membina keyakinan dan menyerlahkan bakat masing-masing.

Menerusi penganjuran UMT STAND Championship (USC) 2026, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi dalam bidang olahraga.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, kejohanan itu bukan hanya menyediakan platform pertandingan, malah menjadi sebahagian daripada usaha universiti mengenal pasti bakat sukan dalam kalangan mahasiswa.

Menurutnya, USC 2026 meneruskan inisiatif STAND yang membawa maksud Search, Train and Develop bagi mencari, melatih dan membangunkan potensi atlet mahasiswa.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

“Mahasiswa yang menunjukkan potensi melalui penyertaan dan prestasi boleh dikenal pasti untuk dipantau serta dipertimbangkan bagi program latihan dan pembangunan sukan yang bersesuaian,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menerusi kejohanan itu, Mohamad Hafizzal Najmi Razif dari Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur dinobatkan sebagai Olahragawan, manakala Nur Aina Az-Aziz dari Fakulti Sains Sekitaran Marin menerima gelaran Olahragawati.

Penganjuran USC 2026 turut memberi peluang kepada mahasiswa daripada pelbagai fakulti untuk menguji keupayaan dalam acara olahraga, selain membina pengalaman melalui persaingan secara sihat.

Usaha seperti ini penting bagi memastikan bakat sukan di peringkat universiti tidak terhenti setakat penyertaan kejohanan, sebaliknya dapat dikenal pasti dan dibangunkan secara lebih terancang untuk melahirkan atlet yang berpotensi mewakili universiti pada peringkat lebih tinggi.