BUKAN sekadar makan lemang, kali ini mahasiswa sendiri turun padang belajar cara membuatnya.

Seramai 60 pelajar daripada Sekretariat Rakan Muda Universiti Kuala Lumpur Malaysia Italy Design Institute (UniKL MIDI) menyertai program gotong-royong membakar 500 batang lemang bersama penduduk Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan di sini pada Sabtu.

Pengerusi Sekretariat Rakan Muda UniKL MIDI, Amirul Hakim Mohamad berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman menyediakan lemang secara tradisional sambil mendekati komuniti setempat.

Menurutnya, kebanyakan pelajar yang terlibat pertama kali melihat dan mencuba proses penyediaan lemang secara langsung.

- Advertisement / Iklan -

“Kami belajar banyak perkara sepanjang program ini, daripada menggunakan daun lerek, membersihkan buluh hinggalah kepada teknik membakar lemang.

“Selalunya kita hanya makan lemang, tapi kali ini dapat lihat dan buat sendiri prosesnya. Memang pengalaman yang sangat menarik,” katanya pada Sabtu.

Amirul Hakim berkata, program tersebut melibatkan 50 pelajar dari UniKL MIDI dan 10 pelajar dari Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT).

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, semua pelajar yang terlibat teruja kerana dapat mencuba sesuatu yang jarang dilakukan dalam kehidupan seharian sebagai mahasiswa.

“Idea untuk sertai program ini tercetus selepas kami berhubung dengan seorang kenalan dalam kalangan penduduk yang mencadangkan supaya mahasiswa turut serta dalam aktiviti komuniti ini,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk, Mohd Firdaus Babh berkata, program membakar lemang bersama penduduk itu merupakan kali kedua dianjurkan di kawasan berkenaan.

Katanya, kelainan pada tahun ini apabila golongan mahasiswa sendiri menunjukkan minat untuk menyertai aktiviti tersebut.

“Kebanyakan kos program ini ditanggung oleh penduduk melalui sumbangan dari rumah ke rumah, bermula daripada bahan kecil seperti gula hinggalah penyediaan buluh lemang,” katanya.

Tambah beliau, kira-kira 50 penduduk menyertai sesi pagi dan lebih ramai dijangka hadir pada sebelah petang bagi membantu proses membakar lemang yang memerlukan tenaga tambahan.

“Pangsapuri ini ada lima blok dan setiap wakil blok memainkan peranan masing-masing seperti menyediakan minuman, rendang serta menu berbuka puasa untuk dinikmati bersama mahasiswa,” katanya.