Pelajar FTV UPSI harumkan nama negara di World Chefs Championship 2026
KEJAYAAN pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencuri perhatian apabila berjaya meraih pelbagai pingat dalam pertandingan World Chefs Championship (WCC) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, dari 21 hingga 23 Mei lalu.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pencapaian membanggakan itu diraih menerusi penyertaan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ekonomi Rumah Tangga) yang membawa pulang enam pingat ‘Excellent Gold’, tujuh emas, lapan perak dan tiga gangsa dalam pelbagai kategori kulinari serta hospitaliti.
Menurut beliau, kejayaan tersebut hasil bimbingan Penolong Pegawai Penyediaan Makanan FTV, Muhammad Hazwan Ibrahim yang memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran dan kreativiti pelajar sepanjang pertandingan berlangsung.
“Pencapaian ini membuktikan pelajar UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki bakat dan kemahiran bertaraf antarabangsa dalam pendidikan kulinari serta hospitaliti.
“Keupayaan pelajar FTV UPSI meraih pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan berprestij ini amat membanggakan universiti dan negara. Ia mencerminkan komitmen tinggi, disiplin, kreativiti serta kesungguhan mereka dalam menghasilkan inovasi kulinari berkualiti tinggi,” katanya.
Sementara itu, Dekan FTV UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha berterusan fakulti dalam memperkukuh latihan praktikal, kreativiti kulinari dan pendedahan pelajar terhadap standard industri antarabangsa.
Katanya, penyertaan dalam WCC 2026 turut membuka peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran teknikal, meningkatkan keyakinan diri serta memahami kehendak sebenar industri makanan dan hospitaliti global.
“Pelajar UPSI berjaya menampilkan prestasi luar biasa dalam pelbagai kategori termasuk bakeri, pastri, masakan tradisional, pencuci mulut moden dan seni persembahan makanan.
“Malah, terdapat pelajar yang memenangi lebih daripada satu pingat dalam kategori berbeza sekali gus menunjukkan tahap kompetensi yang sangat membanggakan,” ujarnya.
Antara penerima ‘Excellent Gold Medal’ ialah Fa’iqah Afifah Joanes menerusi kategori Modern Free Style 3 Tier Wedding Cake, Jordan Bell Angel Injol (Gingerbread House Showpiece), Nur Athirah Mohd Zailani (Petit Four and Praline), Nurul Syazwani Mukhtar (Thai Modern Main Course Fish or Seafood), Noorsyamimie Zulkifli (Malay Traditional Dessert) serta Nur Balqis Kamarulzaman bagi kategori Thai Free Style Dessert.
Turut meraih pingat emas ialah Radin Wafa Syahirah Kamaruzaman menerusi kategori Pasta Challenge, Nur Zarith Sofia Tugimun (Pattisserie Cream Puff 5 Types), Fatin Nur Aina Dzulkifli (Thai Free Style Dessert), Meishya Forchoa Frify (Ikan Asam Pedas), Muhammad Haziq Mohd Azlan (Western Cuisine Fish & Chips) serta Melviah Untong yang memenangi dua pingat emas bagi kategori Sambal Petai Udang dan Modern Free Style Indonesia Dessert.
Dalam pada itu, beberapa pelajar lain turut membawa pulang pingat perak termasuk Mohamad Luqman Hakim Mustariri Rahman, Muhammad Adib Hafizuddin Hashim, Kong Mei Ting, Noor Hazwani Anisa Noor Hazilan, Nur Athirah Abdul Ghafar dan Nur Balqis Kamarulzaman yang meraih tiga pingat perak dalam kategori berbeza.
Bagi kategori pingat gangsa pula, anugerah dimenangi Siti Aishah Ahmad Shukri, Muhammad Khairil Azwan Sulaiman dan Nur Athirah Abdul Ghafar.
Sebanyak 50 kategori dipertandingkan dalam WCC 2026 meliputi bidang masakan, bakeri, pastri dan seni kulinari kreatif, sekali gus menjadikan kejohanan itu antara platform paling kompetitif dalam industri kulinari antarabangsa.
Selain Malaysia, pertandingan berprestij tersebut turut disertai peserta dari Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, China, Peru, Kanada dan Vietnam.
