RASA malu dan rendah diri tidak seharusnya menjadi penghalang untuk melangkah lebih jauh dalam pendidikan.

Bagi mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Norazlizam Haziman A/L Salim, pencapaian dalam akademik menjadi bukti bahawa latar belakang bukan penentu sejauh mana seseorang mampu pergi.

Mahasiswa dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu kini mengikuti pengajian Bachelor of Science (Hons.) Mathematics di UiTM dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) JAKOA 2026 bagi Kategori Mahasiswa Lelaki.

Lebih membanggakan, Norazlizam konsisten memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester selain mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melebihi 3.90 sepanjang pengajian.

- Advertisement / Iklan -

“Pesanan saya kepada anak muda Orang Asli, jangan rasa malu atau rendah diri. Teruskan berusaha, bina keyakinan dan percaya pada kemampuan sendiri kerana kejayaan adalah milik insan yang berusaha, tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Pengiktirafan itu disampaikan pada Majlis Anugerah Mahasiswa Inspirasi JAKOA Tahun 2026 di Hotel Grand Wyndham, Bangsar, di sini, pada 4 Oktober.

- Advertisement / Iklan -

Namun, kecemerlangan Norazlizam tidak hanya terhenti di bilik kuliah apabila minatnya terhadap Matematik turut diterjemahkan menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan.

Antaranya termasuk Malaysia Mathematics Invitational Championship (MMIC) 2026, selain berjaya mara sebagai finalis Olimpiad Matematik Universiti Malaya (OMUM) 2026.

No Image Caption

Dalam masa sama, mahasiswa itu turut aktif dalam program kemasyarakatan di luar kampus, khususnya aktiviti yang memperkenalkan dan mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah.

Bagi Norazlizam, perkongsian ilmu itu penting supaya lebih ramai generasi muda berani mengenali STEM dan melihat bidang berkenaan sebagai ruang untuk mengembangkan potensi diri.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, pencapaian Norazlizam membuktikan usaha, disiplin dan kesungguhan mampu membuka ruang kepada mahasiswa untuk mencapai kecemerlangan tanpa dibatasi latar belakang.

“Pencapaian Norazlizam amat membanggakan kerana beliau bukan sahaja konsisten dalam akademik dengan CGPA melebihi 3.90, malah aktif dalam bidang matematik dan membawa semangat STEM kepada masyarakat; kami berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk berani mencabar potensi diri dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

AMI merupakan inisiatif Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengetengahkan mahasiswa Orang Asli berprestasi tinggi yang mempunyai potensi menjadi sumber inspirasi menerusi pencapaian akademik, kepimpinan dan sumbangan kepada komuniti.