Bukan sekadar bantuan, RM101,580 ringankan beban 104 pelajar UKM
KESUKARAN kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mahasiswa untuk meneruskan pengajian dan mengejar cita-cita di menara ilmu.
Atas keprihatinan tersebut, seramai 104 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disantuni menerusi bantuan sara hidup, yuran pengajian dan komputer riba bernilai keseluruhan RM101,580 daripada Tabung Kebajikan & Pelajaran YAPEIM (TKPY).
Sumbangan yang disampaikan di Kolej Keris Mas itu diharapkan dapat memberikan kelegaan kepada penerima, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan dan kekurangan kemudahan pembelajaran.
Pengurus Besar TKPY, Dr. Shamsul Azhar Yahya berkata, daripada keseluruhan penerima, seramai 59 pelajar menerima bantuan sara hidup sebanyak RM1,000 seorang dengan jumlah keseluruhan RM59,000.
"Daripada jumlah berkenaan, 44 penerima merupakan pelajar Kolej Keris Mas, manakala 15 lagi terdiri daripada pelajar kolej kediaman lain di UKM.
"Selain bantuan sara hidup, TKPY turut menyalurkan bantuan yuran pengajian berjumlah RM22,680 kepada 36 pelajar Kolej Keris Mas," katanya.
Menurut Shamsul Azhar, dua lagi pelajar daripada kolej kediaman lain menerima bantuan yuran pengajian berjumlah RM2,400, manakala tujuh pelajar yang memerlukan kemudahan pembelajaran menerima komputer riba bernilai keseluruhan RM17,500.
"Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha TKPY memastikan pelajar yang memerlukan mendapat sokongan sewajarnya untuk meneruskan pengajian di samping meringankan tekanan kewangan yang ditanggung sepanjang tempoh pengajian.
“Kami berharap bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan membolehkan para pelajar menumpukan perhatian kepada pembelajaran serta pembangunan diri,” katanya.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Profesor Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman.
Beliau berkata, sumbangan tersebut membuktikan bahawa kerjasama antara institusi pendidikan dengan organisasi kebajikan mampu memberikan perubahan yang bermakna kepada kehidupan mahasiswa.
Menurutnya, bantuan kewangan dan kemudahan pembelajaran bukan sahaja memenuhi keperluan semasa pelajar, malah turut memberikan dorongan kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
“Bagi sesetengah mahasiswa, bantuan yang diterima mungkin menjadi penentu sama ada mereka mampu meneruskan pengajian dengan tenang atau terus bergelut dengan tekanan kewangan.
“UKM amat menghargai keprihatinan dan komitmen YAPEIM serta TKPY dalam membantu mahasiswa kami. Sumbangan ini membawa mesej yang sangat besar bahawa setiap pelajar perlu diberikan ruang dan peluang untuk berjaya tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka.
“Kerjasama seperti ini akan terus diperkukuh supaya lebih ramai mahasiswa yang memerlukan dapat dikenal pasti dan dibantu secara berkesan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC), Profesor Dr. Nazri Muslim pula berkata, tanggungjawab fakulti tidak seharusnya terbatas kepada penyampaian ilmu dan pencapaian akademik semata-mata.
Sebaliknya, fakulti turut memainkan peranan dalam mengenal pasti cabaran yang dihadapi mahasiswa serta menghubungkan mereka dengan pihak yang mampu menyalurkan bantuan.
“Usaha ini bukan hanya untuk membantu pelajar FPSC. Kami mahu manfaatnya diperluas kepada mahasiswa daripada pelbagai fakulti di UKM yang benar-benar memerlukan.
“FPSC menawarkan kursus wajib universiti dan kursus rentas disiplin yang melibatkan pelajar daripada pelbagai bidang pengajian. Hubungan ini membolehkan kami mendekati dan memahami keperluan mahasiswa secara lebih menyeluruh.
“Melalui kerjasama erat dengan Kolej Keris Mas, pelajar yang memerlukan dapat dikenal pasti sebelum dihubungkan dengan bantuan yang bersesuaian. Kami amat menghargai kesediaan YAPEIM dan TKPY untuk bersama-sama membantu mahasiswa UKM meneruskan pengajian serta membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Kolej Keris Mas, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham berkata, kolej kediaman merupakan antara pihak yang paling hampir dengan mahasiswa dan dapat melihat sendiri cabaran yang mereka hadapi sepanjang berada di kampus.
Menurutnya, terdapat pelajar yang bukan sahaja berdepan kesukaran membayar yuran, malah turut bergelut untuk memenuhi keperluan harian dan mendapatkan peralatan pembelajaran yang mencukupi.
“Di kolej kediaman, kami bukan hanya menguruskan penempatan pelajar. Kami turut mendengar keluhan mereka, memahami kesukaran yang dihadapi dan berusaha mencari jalan penyelesaian bersama-sama.
“Kolej perlu menjadi keluarga pertama yang menyambut, melindungi dan membantu mahasiswa ketika mereka melangkah masuk ke UKM. Mereka perlu mengetahui bahawa ada pihak yang mengambil berat dan bersedia membantu ketika diperlukan.
“Di sebalik setiap bantuan, terdapat seorang mahasiswa yang kini dapat meneruskan pengajian dengan lebih yakin dan sebuah keluarga yang mampu menarik nafas lega,” katanya.
Beliau berkata, sinergi antara FPSC dan Kolej Keris Mas membolehkan proses mengenal pasti pelajar yang memerlukan dilaksanakan secara lebih dekat, tersusun dan menyeluruh.
Kerjasama itu turut mencerminkan pendekatan UKM yang meletakkan kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan mahasiswa seiring dengan usaha meningkatkan kecemerlangan akademik.
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UKM, Datuk Dr. Mohd Zaidi Md Zain@Zakaria, dan Ketua Divisyen Sosioekonomi YAPEIM, Muhamad Khairul Anuar Ibrahim.
Pada majlis sama, YAPEIM dan TKPY merakamkan penghargaan kepada 675 warga UKM yang menyumbang menerusi skim infak gaji berjumlah hampir RM143,000 setahun.
Sumbangan berkenaan disalurkan semula dalam bentuk bantuan pendidikan kepada pelajar UKM yang memerlukan, sekali gus membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan budaya menyumbang mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan mahasiswa.
Bagi 104 penerima tersebut, bantuan yang diterima bukan sekadar meringankan beban hari ini, tetapi menjadi sinar harapan untuk mereka meneruskan perjalanan pendidikan dan membina masa depan yang lebih baik.
