Dari Riverbank UiTM ke pentas negara, Amirul Anas raih Tokoh Usahawan Siswa 2026
MAHASISWA Universiti Teknologi MARA (UiTM), Amirul Anas Zulkifli mencipta pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Siswa pada Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026.
Pengiktirafan itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat Amirul, 24, yang merupakan antara pengasas dan pemilik bersama Amber Coffee, sebuah perniagaan kopi yang bermula dalam ekosistem kampus UiTM Shah Alam.
Amber Coffee diasaskan Amirul bersama dua rakannya, Muhammad Jawher Abu Bakar dan Muhammad Akmal Rosman, dengan operasi berpusat di Tapak Riverbank, Kolej Delima, UiTM Shah Alam.
Bermula pada April 2025 dengan modal sekitar RM15,000, ketiga-tiga mahasiswa berkenaan membangunkan Amber Coffee daripada sebuah idea perniagaan kecil kepada kafe berkonsepkan outdoor cafe yang menjadi tumpuan mahasiswa, warga universiti dan komuniti sekitar.
Sebagai pengurus operasi, Amirul terlibat secara langsung dalam pengurusan stok, kewangan serta kelancaran operasi harian Amber Coffee, sekali gus memberikan pengalaman sebenar mengurus perniagaan ketika masih bergelar mahasiswa.

Kesungguhan membangunkan perniagaan turut membawa Amirul dan rakan-rakannya keluar daripada ruang kampus apabila mereka menggunakan hasil keuntungan serta simpanan sendiri untuk menimba pengalaman mengenai budaya kopi, teknik penyediaan dan pengurusan perniagaan di Vietnam dan China.
Mereka turut membawa aspirasi untuk memperluaskan jenama Amber Coffee ke kampus-kampus UiTM lain dengan gagasan jangka panjang “satu UiTM, satu Amber Coffee”, sekali gus memperlihatkan cita-cita membangunkan jenama mahasiswa kepada skala yang lebih besar.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, kejayaan tersebut membuktikan mahasiswa UiTM mampu menterjemahkan ilmu dan pengalaman di universiti kepada pencapaian yang memberi nilai kepada masyarakat serta negara.
“UiTM mahu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi berani mencipta peluang, membangunkan idea dan menggunakan ilmu yang dimiliki untuk memberi manfaat kepada orang lain, dan kejayaan ini mencerminkan potensi besar mahasiswa kita untuk menjadi pencipta peluang serta pemacu ekonomi pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, kejayaan Amirul menunjukkan keusahawanan mahasiswa mampu menjadi medan pembangunan karakter, daya tahan dan keberanian mengambil peluang sejak di bangku pengajian.

“Keusahawanan mendidik mahasiswa supaya lebih berdikari, kreatif, berdaya tahan dan berani mengambil peluang, dan kita mahu lebih ramai mahasiswa UiTM melihat bidang ini bukan sekadar untuk menjana pendapatan tetapi sebagai ruang mencipta pekerjaan, menyelesaikan masalah serta memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
ATSN 2026 yang berlangsung pada Khamis merupakan platform pengiktirafan nasional kepada mahasiswa dan badan pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan, akademik serta sumbangan kepada komuniti dan negara.
Majlis berkenaan mempertandingkan pelbagai kategori termasuk kepimpinan, kesukarelawanan, komuniti, inovasi, kelestarian, sukan, seni dan warisan serta keusahawanan, selain beberapa anugerah khas turut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ATSN 2026 dianjurkan KPT dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai tuan rumah, dan merupakan kesinambungan platform pengiktirafan mahasiswa yang diperkenalkan sejak 2012.
Kejayaan Amirul membawa Amber Coffee daripada sebuah tapak perniagaan mahasiswa di Riverbank Kolej Delima sehingga mendapat pengiktirafan pada peringkat kebangsaan sekali gus memperlihatkan bahawa kampus juga boleh menjadi medan awal melahirkan usahawan muda yang berani membina jenama sendiri dan mencipta peluang ekonomi.
