PELAJAR Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ng Zhen Fan Shankar, 27, mencipta sejarah apabila menjadi anak Malaysia pertama menerima Biasiswa Tokoh Siswa Menteri Pendidikan Tinggi untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Anugerah itu membolehkan Zhen Fan mengikuti pengajian Sarjana Perakaunan dan Kewangan di University of Leeds, United Kingdom, dengan penajaan penuh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sepanjang tempoh pengajian.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pemilihan Zhen Fan merupakan satu pengiktirafan terhadap pencapaian mahasiswa berkenaan yang bukan sahaja aktif di kampus, malah turut menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya bersyukur dengan pemilihan Ng Zhen Fan kerana ia sememangnya seorang pelajar yang sangat aktif sewaktu belajar di UPSI, malah melakar pencapaian di peringkat universiti, nasional dan antarabangsa,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, Zhen Fan turut mengharumkan nama UPSI melalui pelbagai pencapaian termasuk menerima Anugerah Tokoh Siswa Negara, Anugerah Perdana Naib Canselor, Anugerah Kepimpinan MPP, Anugerah World Leader Changemaker dan Anugerah Ikon ESG KPT 2024.

Beliau turut pernah menjadi Delegasi Malaysia ke ASEAN Youth Conference yang berlangsung di Pejabat Kedutaan ASEAN Indonesia.

- Advertisement / Iklan -

“Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada semua pelajar UPSI untuk aktif mengikuti pelbagai program sama ada di dalam mahupun di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Zhen Fan yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berkata, pemilihan berkenaan amat bermakna buat dirinya, apatah lagi beliau menjadi calon pertama menerima tajaan Biasiswa Tokoh Siswa Menteri Pendidikan Tinggi untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Saya akan berada di United Kingdom selama setahun dan akan memanfaatkan peluang dan penghargaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Anak sulung daripada pasangan kembar itu turut memasang impian untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) sebelum merealisasikan hasrat bergelar pensyarah.

Di sebalik pencapaian itu, kejayaan Zhen Fan turut menjadi kebanggaan buat ibu bapanya, Ng Sin Wah, 60, seorang jurukimpal dan S Kinasunthari, 63, yang bekerja sebagai kerani pejabat.

Bagi mereka, pemilihan anaknya sebagai penerima biasiswa berkenaan adalah rezeki yang sangat berharga, selain membuka peluang lebih cerah untuk masa depan Zhen Fan dan keluarga.

Daripada UPSI ke Leeds, langkah Zhen Fan kini membawa satu lagi cerita tentang keberanian anak muda merebut peluang, menimba pengalaman di pentas antarabangsa dan membawa impian lebih jauh daripada sekadar sebuah ijazah.