LAHIR dalam keluarga Orang Asli dan membesar dalam lingkungan seni serta budaya, graduan Diploma Geomatik Politeknik Ungku Omar (PUO), Roas Noah Zachery, 22, membuktikan pendidikan TVET mampu menjadi landasan kepada anak muda mengembangkan potensi diri tanpa meninggalkan akar budaya dan identiti.

Anak sulung dalam keluarganya itu berjaya menamatkan pengajian Diploma Geomatik dengan PNGK 2.97, selain aktif mengembangkan bakat dalam seni muzik tradisional sehingga diberi peluang membuat persembahan di dalam dan luar negara.

Roas Noah merupakan antara permata tersembunyi PUO yang menyerlah menerusi gabungan kemahiran teknikal, bakat seni dan kecintaan terhadap warisan budaya.

Beliau pernah membuat persembahan sebagai pemuzik tradisional pada Malaysia Festival 2025 di Sydney, Australia, sekali gus membawa elemen seni muzik tradisional Malaysia ke pentas antarabangsa.

- Advertisement / Iklan -

Beliau turut terlibat dalam Sape Camp 3.0 anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) dan diberi kepercayaan sebagai salah seorang Sape Ambassador YPS, selain aktif dalam pelbagai persembahan muzik termasuk di Bulatan Amanjaya, Meru sempena sambutan Tahun Baharu 2026.

Terbaharu, Roas Noah membuat persembahan dalam Konsert Sulung Orkestra Tradisional UiTM (UTO) di UiTM Shah Alam sempena peperiksaan Fakulti Muzik, membuktikan bakatnya terus berkembang walaupun berlatarbelakangkan bidang pengajian berbeza.

- Advertisement / Iklan -

Lebih istimewa, kecintaan terhadap seni turut diwarisi daripada bapanya yang bertugas sebagai jurugambar di PUO dan merupakan penggiat seni Orang Asli.

Hubungan ayah dan anak itu turut mencuri perhatian ketika Sidang 1 Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Tengah apabila Roas Noah bersama bapanya tampil membuat persembahan muzik tradisional dengan meniup pensol dalam sesi selingan konvokesyen.

Momen tersebut bukan sekadar persembahan seni, sebaliknya memperlihatkan hubungan antara generasi dalam memelihara warisan budaya Orang Asli, selain menjadi simbol bahawa kejayaan pendidikan dan kecintaan terhadap budaya mampu bergerak seiring.

Bagi Roas Noah, pencapaiannya didorong oleh keinginan untuk memperkukuh jati diri Orang Asli dalam kalangan generasi muda, khususnya Gen Z, serta memastikan khazanah budaya tidak hilang ditelan zaman.

“Semangat saya adalah untuk bangkitkan jati diri Orang Asli dalam kalangan anak-anak muda Gen Z dan memelihara khazanah budaya agar tidak hilang,” katanya.

Beliau yang gemar bermain muzik, mencuba pelbagai alat muzik baharu dan memancing pada waktu lapang turut menjadikan satu prinsip sebagai pegangan hidup.

“Seberjaya mana pun kita, jangan lupa asal usul kita,” katanya.

Dalam bidang akademik, Roas Noah mengikuti pelbagai kursus berkaitan Geomatik termasuk Ukur Kejuruteraan, Hidrografi, Geodesi, Penderiaan Jauh, Ukur Kadaster, Sistem Maklumat Geografi (GIS), Pelarasan Ukur, Fotogrametri dan Ukur Utiliti.

Beliau turut melengkapkan diri dengan kemahiran teknikal dalam penggunaan AutoCAD, QGIS, perisian GNSS dan aplikasi Microsoft Office, selain mempunyai pengalaman bekerja sebagai Land and Hydro Surveyor di Yeng Tong Construction Sdn. Bhd.

Sepanjang berada di PUO, beliau turut aktif dalam kegiatan pelajar dan kebudayaan, antaranya menyertai Persatuan Fotografi, kumpulan muzik politeknik sebagai pemain keyboard serta Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Orang Asal Perak.

Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Roas Noah atas pencapaian yang membanggakan itu.

“Tahniah kepada Roas Noah Zachery atas kejayaan yang cukup membanggakan. Pencapaian beliau memperlihatkan bahawa graduan TVET mampu menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik dan kemahiran teknikal, malah dalam bidang seni, kebudayaan dan persembahan di peringkat antarabangsa.

“Lebih istimewa, Roas Noah turut membawa identiti dan warisan Orang Asli dalam perjalanan kejayaannya. Persembahan bersama ayahnya semasa Sidang 1 Konvokesyen POLYCC Zon Tengah juga menjadi satu momen yang cukup bermakna kerana memperlihatkan seni dan warisan terus diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” katanya.

Perjalanan Roas Noah daripada seorang pelajar Diploma Geomatik kepada graduan TVET yang mampu membawa seni muzik tradisional ke pentas antarabangsa mencerminkan kepelbagaian potensi yang boleh dikembangkan melalui pendidikan politeknik.

Kisah beliau turut memperlihatkan bahawa kecemerlangan graduan tidak semestinya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kemahiran, kreativiti, jati diri, kepimpinan serta keupayaan membawa identiti dan budaya ke peringkat lebih luas.

Daripada bidang Geomatik kepada muzik tradisional, Roas Noah membuktikan seorang graduan TVET mampu mempunyai lebih daripada satu identiti kejayaan – profesional dalam bidang kerjaya, aktif dalam seni dan tetap teguh mempertahankan akar budaya.

Kisah anak Orang Asli ini menjadi antara wajah menarik yang mewarnai Konvokesyen POLYCC Zon Tengah, Sidang 1, sekali gus mengangkat PUO sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran, tetapi turut membuka ruang kepada anak muda untuk menyerlahkan bakat, identiti dan potensi diri ke peringkat lebih tinggi.

Pencapaian Roas Noah selari dengan aspirasi PUO untuk terus melahirkan graduan yang berkemahiran, berdaya saing, beridentiti dan berdaya global, seiring aspirasi PUO ke arah Politeknik APEX.