SAKAT 2026: Bila AI bertemu jiwa sastera di UNIMAS
KECERDASAN buatan (AI) mungkin mampu menghasilkan puisi, metafora dan meniru gaya penulisan, namun pengalaman, emosi dan jiwa manusia kekal menjadi unsur yang sukar digantikan dalam dunia sastera.
Persoalan mengenai batas antara kecanggihan teknologi dan keunikan manusia itu menjadi antara tumpuan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini.
Seminar bertemakan “Mengimbangi Kecerdasan Buatan dengan Kecerdasan Semula Jadi dalam Sastera” menghimpunkan lebih 200 ahli akademik, penggiat sastera dan pelajar dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia serta Singapura.
SAKAT 2026 berlangsung selama dua hari, 21 hingga 22 September di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS dan merupakan kegiatan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Jeniri Amir yang turut menyampaikan ucap utama bertajuk “Landskap Kesusasteraan Asia Tenggara: Realiti Empirikal dan Suara Serantau”.
Jeniri berkata, AI mampu meniru gaya penyair serta menghasilkan metafora yang menarik, namun teknologi berkenaan tidak memiliki pengalaman, sejarah, perasaan dan renungan jiwa yang membentuk karya seorang pengarang.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP merangkap Pengerusi Mastera Malaysia, Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, SAKAT bukan sekadar wadah perkongsian ilmu, malah menjadi ruang untuk memperkukuh nilai kemanusiaan menerusi sastera ketika dunia berdepan perkembangan teknologi yang semakin pesat.
Beliau turut menyifatkan penganjuran SAKAT 2026 sebagai satu pencapaian bermakna apabila seminar kesusasteraan antarabangsa berkenaan memasuki edisi ke-30 dan buat julung kalinya berlangsung di Bumi Kenyalang.

Kehadiran Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit sebagai Tetamu Kehormat pula mencerminkan sokongan universiti terhadap kerjasama strategik bersama DBP dalam memperkukuh bidang bahasa, sastera dan kebudayaan.
Penganjuran SAKAT 2026 turut mengangkat Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS sebagai antara rakan strategik DBP di Borneo dalam usaha memperkasa bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan serantau.
Seminar itu sekali gus membuka ruang kepada penggiat dan generasi muda untuk melihat perkembangan AI secara lebih kritis, tanpa mengetepikan nilai, pengalaman dan suara manusia yang menjadi nadi kepada karya sastera.
UNIMAS komited meneruskan kerjasama bersama DBP bagi memastikan khazanah persuratan Asia Tenggara terus berkembang, dihargai dan relevan dalam landskap dunia yang semakin dipengaruhi teknologi.
