Bubur lambuk, senyuman dan ukhuwah di Putra Cakna 4.0
BULAN Ramadan terus menjadi medan mengeratkan ukhuwah apabila Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Putra Cakna 4.0 dengan melibatkan anak yatim, ibu tunggal, staf asnaf serta pelajar fakulti itu di kampus UPM, Serdang.
Program yang memasuki edisi keempat ini sarat dengan semangat kebersamaan apabila warga fakulti bergotong-royong menyediakan kira-kira 2,000 bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga universiti dan masyarakat sekitar Serdang. Aktiviti memasak bersama itu bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan, malah menjadi simbol perkongsian rezeki dalam bulan penuh keberkatan.
Dekan FBMK UPM, Hazlina Abdul Halim berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.
Menurutnya, usaha itu juga selari dengan aspirasi kerajaan dalam menyemai nilai keprihatinan dalam kalangan masyarakat serta mendukung konsep Malaysia MADANI.
“Program ini bukan sekadar aktiviti kebajikan, tetapi juga ruang untuk warga universiti bersama-sama menyantuni komuniti dan berkongsi kegembiraan Ramadan,” katanya.
Program tersebut turut disertai 40 anak yatim dari rumah kebajikan sekitar Serdang, Bangi dan Kajang serta 50 ibu tunggal. Selain penyampaian sumbangan, mereka turut diraikan dalam majlis berbuka puasa yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan.
Majlis itu dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Ahmad Farhan Mohd Sadullah, sekali gus mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam memacu agenda kesejahteraan komuniti.
Melalui penganjuran Putra Cakna 4.0, UPM terus membuktikan bahawa peranan institusi pengajian tinggi bukan hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan nilai ihsan serta kesejahteraan masyarakat.
